PERWAKILAN DAP TERKEJUT DITAWAR UNDI RM3,000

DAP hari ini mendakwa nombor telefon pemimpinnya digunakan untuk menipu perwakilan dengan menghantar mesej kononnya mereka menawarkan RM3,000 bagi setiap undi pada pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu hari ini.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata perwakilan parti itu menerima mesej sedemikian daripada pelbagai nombor telefon termasuk Pengerusi DAP yang juga Anggota Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

“Ini bukan kali pertama berlaku apabila beberapa mesej spam dihantar kepada perwakilan kami menggunakan peranti tertentu untuk mengelirukan pengguna.

“Pagi ini, (alat itu) menggunakan nombor Tan untuk menghantar mesej walaupun ia sebenarnya bukan dari telefon dia namun nombor yang tertera ialah yang sama dengan nombor beliau,” kata Loke kepada Malaysiakini di kongres khas DAP yang diadakan di Shah Alam, hari ini.

Spoofing adalah satu bentuk penggodaman atau penipuan perisian, peranti atau komputer.

Mesej-mesej yang kongsikan dikatakan berbeza, tetapi semuanya dalam bahasa Cina, dan semua meminta perwakilan untuk mengutip RM3,000 dari penghantar mesej itu sebagai terima kasih atas sokongan mereka kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

RM10 pun tak ada

Mesej itu juga mendakwa bahawa wang tersebut dibiayai oleh Lim dan Loke.

Loke juga berkata dia sendiri menerima mesej yang sama dari nombor telefon palsu milik Tan, sekitar jam 8 pagi tadi.

“Saya juga terima (kononnya) daripada Tan Kok Wai.

“Sudah tentu ini palsu. Adakah anda fikir saya mampu memberi RM3,000 bagi setiap orang?

“Anda boleh bertanya kepada mana-mana perwakilan sama ada mereka menerima wang atau tidak,” katanya, sambil menambah bahawa beberapa ratus perwakilan mungkin menerima mesej tersebut juga.

Mengulas lanjut, Loke berkata taktik sedemikian hanyalah bertujuan menimbulkan perpecahan di kalangan anggota parti itu sekali gus menjejaskan kestabilan DAP.

“Mereka fikir taktik tersebut akan menjejaskan kestabilan (parti). Perwakilan DAP tidak begitu bodoh untuk mempercayai pembohongan ini, “katanya.

Turut menerima mesej palsu tersebut adalah seorang perwakilan, Ng Ah Hooi dari cawangan Taman Tun Dr Ismail.

Ng mendakwa dia menerimanya daripada nombor rawak pada pukul 9.44 pagi.

Bagaimanapun, Ng dikatakan cuba menghubungi nombor terbabit tetapi tidak ada siapa yang menjawabnya.

“Saya tahu ia adalah palsu. Sedangkan RM10 pun saya tak ada terima, sekarang kamu kata kami dibayar RM3,000?” katanya dengan ketawa.

Ng yakin mesej-mesej sedemikian bertujuan untuk menjatuhkan DAP melalui tuduhan politik wang.

“Ini semua sampah. Saya telah mengundi berapa kali dan tidak ada perkara seperti itu, “katanya.

DAP mengadakan pemilihan semula CEC sekali lagi hari ini atas arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

ROS mendakwa berlaku masalah dalam senarai perwakilan yang digunakan untuk pemilihan semula CEC DAP pada 2013.

Pemilihan semula ini akan menetapkan semula kedudukan kepimpinan DAP.

– M’kini

.