PERTEMUAN PAKATAN UNDANG CAMPUR TANGAN ASING, KATA ANIFAH

PERTEMUAN Pakatan Harapan dengan sekumpulan duta Kesatuan Eropah hanya mengundang campur tangan asing, selar Kementerian Luar hari ini.

Menterinya Anifah Aman berkata, ia menunjukkan pertemuan dengan duta EU itu merupakan langkah terdesak pakatan pembangkang yang mengancam kedaulatan negara

“Apa yang jelas usaha diambil PH adalah langkah terdesak kerana mengundang campur tangan asing dan tekanan ke atas prinsip dan nilai demokrasi yang diamalkan rakyat Malaysia.

“Ini merupakan hipokrasi dan helah daripada Dr Mahathir yang meletakkan kepentingan negara dan rakyatnya untuk mendapat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemimpin pembangkang Dr Mahathir dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan akan mengadakan pertemuan dengan kontinjen duta besar EU pada Jumaat.

Pertemuan itu akan diadakan di kediaman Ketua Kedutaan dan Delegasi EU ke Malaysia Maria Castillo Fernández.

Putrajaya juga akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak luar yang melanggar Konvensyen Vienna bagi Hubungan Diplomatik 1961.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak dalam melindungi hak dan kedaulatan rakyat dan juga imej negara, dengan mengambil langkah sewajarnya ke atas mana-mana pihak luar yang melanggar norma dan nilai konvensyen berkenaan,” kata Anifah.

Seramai 14 duta besar dan tiga charges de affaires negara Kesatuan Eropah akan bertemu dengan wakil PH, yang diketuai Dr Mahathir.

Pemimpin PH lain yang dijangka hadir adalah setiausaha agung pakatan Saifuddin Abdullah, pengerusi DAP Tan Kok Wai dan naib presiden PKR Dr Xavier Jeyakumar.

– https://www.themalaysianinsight.com

.