PERSOALAN ‘RM2.6B’: MAMPUKAH NAJIB PINGGIRKAN ZAHID?

Sejak pengumuman pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, pelbagai spekulasi dan teori timbul dengan ada mendakwa kerjaya politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin tergugat.

Walau bagaimanapun, persoalan “RM2.6 bilion” adalah sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mampu mengambil risiko, terutama ketika ini?

Malah sebelum mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada tahun 2009, Najib terpalit dengan belenggu skandal pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Walaupun perdana menteri berkata dirinya tiada kaitan dan pihak polis telah membersihkannya, namun terdapat banyak soalan yang belum terungkai sehingga hari ini.

Kemudian timbul pula skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang berada dalam akaun peribadi Najib, menjadikan beliau sebagai perdana menteri Malaysia pertama yang terpalit dalam kes rasuah trans-Eropah, yang disebut-sebut sebagai yang terbesar di dunia setakat ini.

Juga dikaitkan anak tirinya, yang dituduh menggunakan dana untuk membiayai penerbitan filem Hollywood, yang plotnya secara kebetulan berkisar rasuah dan jenayah.

Pembangkang lemah

Pada masa sama, terdapat dakwaan bahawa isterinya seorang yang boros berbelanja dengan cita rasa tinggi terhadap produk berjenama terkenal.

Semua ini, memaksa pemimpin Umno dan BN terpaksa berhempas pulas mempertahankan perdana menteri dan keluarganya, bukan sahaja daripada pengkritik tempatan, tetapi juga dari luar negara.

Pengkritik terus menyerangnya meskipun Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib yang menyalahkan dakwaan itu dibuat oleh mereka yang ingin menumbangkannya.

Antara sebab Umno masih menerima Najib adalah kerana pembangkang adalah lemah dan berpecah belah, dan kemungkinan mereka merampas kuasa persekutuan juga adalah tipis.

Justeru, tidak ada keperluan bagi membuat pembaharuan.

Mungkin jika bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dihumban di dalam penjara dan Allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, masih ada, senario itu akan berbeza.

Tambahan pula, sejarah telah membuktika bahawa apabila berlaku pergolakan dalam Umno, parti itu memerlukan sekurang-kurang setahun dua tahun untuk merapatkan semula barisan.

Oleh itu, tidak bijak bagi Najib bertindak ke atas Zahid pada ketika ini apabila pilihan raya umum semakin hampir.

Tidak seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang pengaruhnya dalam Umno tidak begitu meluas, Zahid bukan calang-calang pemimpin.

Beliau mendapat undi paling banyak pada pemilihan Umno lalu bagi jawatan naib presiden, manakala Hishammuddin menduduki tempat terakhir antara tiga calon selepas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Hubungan keluarga

Jadi, mungkin terdapat dua alasan untuk Najib melantik Hishammuddin.

Pertama adalah untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai naib presiden. Menurut sumber dalaman “semut akan tertarik kepada gula” merujuk bagaimana memegang dua portfolio akan memberi Hishammuddin kuasa yang lebih besar.

Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, sumber-sumber Umno mendakwa bahawa Hishammuddin berada di belakang Menteri Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam perebutan jawatan naib presiden.

Kedua, Najib mungkin mahu mewujudkan keseimbangan politik dengan memberi kuasa kepada sepupunya untuk ‘memerhatikan’ Zahid.

Zahid sebelum ini pernah membuat keputusan politik yang mengejutkan.
Tetapi, apa saja boleh berlaku dalam politik.

Dan meminjam kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad, tiada kawan atau musuh kekal dalam politik. Bekas perdana menteri itu sendiri adalah contoh terbaik.

– M’kini