Persempadanan semula: Gerakan dakwa hilang 
50 peratus pengundi

KUALA LUMPUR – Persempadanan semula kawasan pilihan raya akan mengakibatkan beberapa kawasan milik parti Gerakan kehilangan banyak pengundi dan ada yang mencecah sehingga 50 peratus.
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong dalam nada tegas berkata, pihaknya akan membuat bantahan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara tersebut yang disifatkan boleh menjejaskan peluang parti membuat kejutan dalam Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14).

Katanya, beliau memahami persempadanan perlu dijalankan setiap 10 tahun namun berpendapat waktu terdekat bukanlah masa yang sesuai kerana ia menyebabkan usaha pihaknya dalam mendekati pengundi sejak awal lagi menjadi sia-sia.

“Kami akan turun berjumpa pengundi di kawasan yang terjejas bagi mendapatkan 100 tandatangan bantahan. Gerakan juga telah berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubungan pendirian tersebut semalam dan beliau memberikan sokongan.

“Bagaimanapun, kami tidak akan mengemukakan bantahan di kawasan tidak terjejas akibat proses persempadanan seperti di Pulau Pinang yang hanya melibatkan pengurangan antara 100 ke 200 orang pengundi sahaja. SPR memberi masa dari 14 September hingga 14 Oktober ini untuk mana-mana pihak mengemukakan bantahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Me­syuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di sini hari ini.

Siew Keong menambah, negeri yang paling terjejas berikutan persempadanan semula adalah Selangor melibatkan lima kawasan utama iaitu Puchong, Bukit Gasing, Kota Alam Shah, Teratai dan Bukit Lanchang.

Jelasnya, antara kawasan lain yang terjejas adalah Beruas, Perak; Bachang, Melaka dan Ketari, Pahang.

“Kali terakhir persempada­nan semula dijalankan pada tahun 2003 dan sejak itu jumlah pengundi telah bertambah sebanyak 36 peratus. Saya ambil contoh di Beruas, pada pilihan raya lalu, calon kami Tan Sri Chang Ko Youn kalah sebanyak 5,000 undi.

“Namun, selepas berlaku­nya persempadanan beliau akan kehilangan hampir 50 peratus daripada pengundi yang ada, perkara ini membimbangkan kerana banyak kerja mendekati rakyat telah dijalankan di sana,” ujarnya. – UTUSAN

.