‘PERSEMBAHAN BERTEMA UMNO KIKIS KEYAKINAN SEKOLAH KEBANGSAAN’

Cubaan ketara menjadikan sekolah sebagai ‘sarang politik’ mengikis keyakinan di sekolah kebangsaan, kata NGO Parent Action Group for Education (Page).

Page berkata demikian dalam merujuk kepada pertandingan dan persembahan bertemakan Umno di Sekolah Kebangsaan Presint 14 Putrajaya yang menyaksikan murid-murid sekolah meneriakkan slogan ‘Hidup Umno’ dan mengibarkan bendera parti itu.

“Amat dikesali murid-murid sekolah yang tidak bersalah dijadikan cagaran dalam permainan politik yang dilakukan orang dewasa.

“Ia selanjutnya mengesahkan kesemua ikhtiar yang dibuat kementerian pendidikan untuk membuatkan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama ibu bapa sedang terhakis dengan pantas.

“Sekolah-sekolah sebegini sekarang akan ditanggapi sebagai sarang politik,” kata Page dalam kenyataan akhbar hari ini.

Samaran helah politik

Majlis tersebut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga anggota parlimen Putrajaya dan setiausaha agung Umno.

Guru besar sekolah terbabit Mohd Amin Hamzah (gambar) mempertahankan program tersebut, sambil menekankan ia bukan majlis politik dan sekolah itu cuma menjalankan kegiatan yang dianjurkan Kementerian Pendidikan.

Page berkata dengan mengambil kira kenyataan Mohd Amin maka pihak kementerian pendidikan perlu bertanggung-jawab.

Kenyataan itu juga menambah Kementerian Pendidikan tidak boleh membiarkan penurunan pendaftaran ke dalam sekolah kebangsaan.

“Majlis ini kelihatan menjadi cubaan terdesak Umno secara terang-terangan sebagai samaran helah politik disebalik pertandingan sekolah.

“Terdapat banyak lagi tempat untuk mempromosikan politik dan sekolah sudah tentu bukan tempatnya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menekankan keutamaan para pendidik untuk memupuk dan membimbing murid sekolah serta melindungi mereka daripada ‘opurtunis politik’.

“Pihak ibu bapa dan sekolah perlu membuat aduan rasmi.

“Kami harap Kementerian Pendidikan dapat belajar sesuatu kerana membenarkan ahli politik menggunakan acara sekolah,” kata kenyataan itu lagi.

– M’kini

.