PEROBOHAN RUMAH DI SUBANG AIRPORT ADA UNSUR SABOTAJ KERAJAAN?

Rata-rata pemain media sosial marah dengan apa yang berlaku di perkarangan masjid Subang Airport semalam, upacara perobohan dua buah rumah di perkarangan masjid itu yang dibangunkan atas tanah bukan hak milik sendiri oleh pihak berkuasa kerajaan Selangor.

Kejadian itu diterjemah dengan pelbagai rasa dan perasaan, dicelah-celahnya ada yang meletakkan kesalahan kepada kerajaan Selangor khasnya Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
Bergantang-gantang Azmin disumpah seranah dituduh sebagai tidak berjiwa rakyat dan lambat bertindak. Apa diterima Azmin itu adalah nasibnya. Mereka yang tidak mahu menyelidiki punca kejadian secara adil dan beretika serta beremosi lebih dengan kejadian itu mudah terbakar, berhak untuk bersikap demikian. Kan orang Melayu ada sejenis penyakit disebut “amuk”. Sehingga ini para saintis dalam dunia perubatan belum menemui vaksin untuk mengatasi kejadian amuk.

Tetapi bagi mereka yang rajin menyelidik faham undang-undang, beretika tidak beremosi dan marah sedemikian, jika memahami akan status tanah yang dibangunkan rumah itu. Juga kalau memahami terma penyelesaian berkaitan perkara itu yang berlaku sebelum ini menerima kejadian semalam dengan tenang.

Dan sepatutnya apabila Azmin menawarkan rumah penginapan sementara kepada mangsa ia boleh menghentikan perasaan marah. Azmin sudah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua kerajaan. Langkah itu dikira tepat. Cuma kesilapan Azmin beliau sepatut menguar-uarkan pemberian rumah itu sebelum tindakan perobohan itu berlaku, barulah beliau dikatakan bijak.

Namun tampak tidak begitu, marah terus marah kerana benih marah kepada Azmin sudah ada sebelum ini. Menyuburkan benih marah membabi buta tidak elok. Semua agama melarang sikap itu. Bagi saya marahkan Azmin bagaikan marahkan nyamuk sehingga membakar kelambu bukan satu tindakan politik yang bijaksana. Ia merugikan. Kita sepatutnya bersikap profesional, marah dan murih bila ada sebab begitu juga puji dan puja juga bila ada sebab.

Selepas kejadian itu dan timbul pelbagai reaksi dalam media sosial saya menghubungi salah seorang pemimpin parti yang berada di tempat kejadian. Kedatangan pemimpin itu bertujuan menyekat upacara perobohan itu atau minta ditangguhkan. Beliau datang awal pagi sehingga mengetahui akan kemaraan tentera bertopi merah bercota (FRU) untuk mengawal acara perobohan itu jam 8:00 pagi.

Pemimpin itu sangat risau dengan keadaan itu, maka beliau berusaha menghubungi pihak kerajaan negeri. Salah seorang Exco kerajaan Selangor yang dihubunginya langsung tidak mahu melayaninya sehinggakan pemimpin berkenaan mengugutnya. Mungkin kerana mereka telah berbeza parti. Tidak pula disebut apakah bentuk ugutan pemimpin itu kepada Exco berkenaan. Yang nyata beliau kecewa dengan sikap Exco berkenaa.

Beliau juga menghubungi MB Azmin Ali. Malangnya selepas jam 11:08 pagi, baru Azmin membalas mesejnya dengan memberi tahu dia sudah meminta Pegawai Daerah Petaling agar menangguhkan acara perobohan itu selama sebulan. Sedikit konfius apakah arahan itu dibuat semalam atau sebelum ini?  Ertinya Azmin sudah membuat tindakan wajar. Malangnya ketika masej dari Azmin diterima, acara perobohan sudah pun bermula dan rumah sudah ranap dan berkecai. Air mata dan keringat sudah luruh meresap ke bumi panas.

Apakah dalam kes ini Azmin sengaja melewatkan untuk memaklumkan kepada pemimpin berkenaan yang dia sudah mengarahkan Pegawai Daerah Petaling menangguhkan acara perobohan itu?Dari penjelasan pemimpin berkenaan juga bererti Pegawai Daerah Petaling tidak mematuhi arahan Menteri Besar? Kerana kalau dia mematuhi arahan MB seperti dimaklumkan kepada pemimpin pembangkang itu, maka acara perobohan itu tidak akan diteruskan.

Apabila beliau menerima mesej daripada MB itu, sewaktu hendak bertindak menghalang acara itu, pemimpin itu mendapati semua pegawai berkuasa berada di situ sudah melarikan diri. “Semua pegawai sudah cuci tangan dan cabut lari,” begitu tulis pemimpin berkenaan dalam Whatsaap kepada saya.

Dakwanya lagi pegawai yang menerima arahan dari MB itu buat senyap sahaja tidak mempedulikan arahan. Situasi inilah yang disebut awal-awal tadi acara perobohan rumah itu semacam ada usaha untuk mensabotaj kerajaan Selangor. Ia sengaja dilakukan untuk membenihkan keburukan terhadap kerajaan Selangor dan “memborakkan” kemarahan kepada Azmin.

Siapakah bertanggungjawab melakukan kerja keji ini? Dalam konteks di atas sekiranya benar apa dijelaskan Azmin kepada pemimpin pembangkang itu yang tidak bertanggungjawab dan mengendahkan arahan Azmin ialah Pegawai Daerah Petaling?

Dakwaan sesetengah penganalisa politik dalam media sosial, bahawa upacara semalam adalah penglibatan pegawai kerajaan mensabotajkan kerajaan Selangor, dan acara itu untuk menimbulkan ketegangan dikalangan parti Pakatan Harapan, khasnya di antara Amanah dan PKR bersama PCM adalah benar.

Kebenaran itu ditambah dengan sikap daripada pihak pembangkang di Selangor (UBN), sehinggakan kini tidak ada seorang pun pemimpin Umno Selangor termasuk yang baru menyertainya membuat apa-apa komen berhubung tindakan yang dianggap menzalimi rakyat semalam. Begitu juga dengan pemimpin parti agama tiada kedengaran apa-apa ulasan dari mereka. Kenapa, hanya jauhari mengenali maknikam.

Tindakan politik selalunya berselindung disebalik cermin dan ianya hanya kelihatan kepada mereka yang suka menilik dan menggunakan cermin jiwa.

Dan setelah memahami senario dan situasinya maka elok kalau semua pihak khas di kalangan penyokong parti-parti Pakatan Harapan yang bertentangan pendapat dalam hal ini menenangkan fikiran sekejap memikir semula tindakan mereka sebelum ini. Janganlah menjadi orang latah yang mudah terjungkit dan melalak walaupun orang mencampakkan kita sehelai daun di mana mudah kita menyangkanya ular tedung.

Belajarlah jadi penyokong dan pejuang yang waras bertindak mengikut etika dan saluran benar. Politik akan dimenangi oleh orang yang licit dan cerdik.

– http://msomelayu.blogspot.sg/

.