PERMOHONAN MAAF DR MAHATHIR TAK MEMADAI, KATA PENGUNDI MELAYU

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad perlu bertindak lebih daripada sekadar memohon maaf, kata pengundi Melayu yang ditemui di Kuala Lumpur dan Johor.

Kalangan pengundi ini antara lainnya kecewa kerana negarawan itu tidak menunjukkan keikhlasan dalam permohonan maafnya.

“Anda tak perlu minta maaf. Kalau benar-benar ikhlas minta maaf kenapa bangkitkan adat melayu? Mohon maaf dan mengakulah kesalahan,” kata salah seorang daripadanya, Harun Mad Desa dari Kampung Nakhoda, Selangor.

Harun, 60 tahun mengulas kejutan yang dibuat Dr Mahathir pada Sabtu lalu dengan meminta maaf atas kesilapan yang diakukan bekas perdana menteri itu sebagai ahli politik

Menurut Dr Mahathir, beliau hanya manusia biasa dan turut menjelaskan bahawa permohonan maaf itu bukan pengakuan ke atas kesalahannya kerana memang adat Melayu untuk memohon maaf.

Kecewa dengan kenyataan itu, Harun berkata Dr Mahathir sepatutnya menunjukkan keikhlasannya dengan mengikut ajaran Islam dan tidak terlalu gila kuasa.

“Dalam Islam, tiada istilah gila kuasa. Lihat parti pembangkang sekarang, mereka bertelagah mengenai siapa mahu jadi perdana menteri,” kata Harun kepada The Malaysian Insight.

Harun yang juga pesara tentera berpendapat, permohonan maaf Dr Mahathir hanya satu gimik sebelum pilihan raya.

“Sama macam 2013 apabila (kerajaan) berikan RM1,000 kepada pesara tentera untuk mendapatkan undi Melayu. Ia sama dengan permohonan maaf ini,” katanya.

Beliau juga berkata rakyat menderita di negara ini kerana pemimpin dan bukan kerana parti atau politik.

Harun berkata ketika Dr Mahathir turut mengabaikan keperluan penduduk melayu di kawasan luar bandar ketika menjadi perdana menteri. Bagaimanapun Harun mengakui perdana menteri selama 22 tahun itu telah membawa pembangunan kepada negara.

Bimbang Mahathir kembali ikut cara lama

“Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim sebelum ini dari Umno manakala Najib kini dari Umno. Namun begitu, saya ada kawan (pesara tentera) yang masih tidak memiliki rumah.

“Kami orang tua, dan kami tidak mahu dengar atau cakap perkara yang merosakkan yang boleh menjatuhkan negara atau menjadikan ia lebih buruk,” kata Harun dan menambah Dr Mahathir sepatutnya lakukan perkara yang sama.

Mohammad Sharizat Ahmad, 60 dari Kampung Datuk Keramat berkata beliau bimbang Dr Mahathir akan mengikut cara lamanya.

“Saya tak banyak tahu tetang politik. Tetapi saya pernah lihat ahli politik seperti beliau melakukan cara lama mereka selepas menang pilihan raya. Itu saya bimbang,” kata Sharizat.

Bapa kepada enam anak itu berkata beliau masih ingat peranan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman dan berkata ia adalah masa terbaik ketika itu.

“Ketika itu, RM600 sebulan cukup untuk besarkan enam orang anak. Kini? RM6,000 pun tak cukup,” katanya.

Katanya, masih perlu bertanggungjawab atas kesilapannya.

“Permohonan maaf sahaja tidak cukup. Hari ini saya 60 tahun. Saya bukan muda lagi tetapi saya tak mampu untuk bersara.

“Saya tidak salahkan beliau sepenuhnya tetapi saya mahu tahu dari pemimpin kita – pembangkang atau kerajaan – apa yang berlaku kepada negara kita,” kata Sharizat yang kini bekerja sebagai juruelektrik.

Tak patut kait mufti dengan tragedi Memali

Bagi pekerja swasta Azlim Azmil, 32, pula beliau berkata permohonan maaf Dr Mahathir itu tidak jelas memandangkan kesalahan yang dikesali itu tidak dinyatakan.

“Dulu memang saya menyokong perjuangan Tun (Mahathir). Tapi sekarang mungkin sudah sampai masanya dia berehat.

“Lagipun banyak juga idea dan projek dijalankan dalam era Mahathir yang akhirnya gagal dan merugikan negara,” katanya yang menetap di Nusa Bestari, di Iskandar Puteri.

Beliau juga tidak bersetuju apabila Mahathir mengaitkan mufti dengan tragedi Memali 32 tahun lalu kerana kuasa eksekutif terletak di tangan perdana menteri ketika itu.

“Selaku ketua pentadbir negara pada masa tu, dia mempunyai kuasa untuk membendung tragedi tersebut daripada berlaku. Saya tak bersetuju Tun salahkan mufti. Mufti memang akan menasihat, tapi bagaimanapun kuasa penentu tetap di tangan perdana menteri.”

Seorang lagi warga Johor, Muhammad Iqbal Masran berkata, Mahathir tidak seharusnya meminta maaf tanpa menggalas tanggungjawab ke atas kesalahan dilakukannya sepanjang 22 tahun mentadbir negara.

“Tentang permohonanan maaf, beliau sewajarnya bertanggungjawab ke atas apa yang telah berlaku dalam tempoh beliau berkhidmat sebagai perdana menteri.

“Agak kurang wajar dan kurang adil jika Tun (Mahathir) memohon maaf tetapi pada masa yang sama lepas tangan terhadap apa yang telah berlaku,” katanya.

Muhammad Iqbal yang bekerja sendiri itu turut mengakui sumbangan Mahathir dalam memajukan Malaysia selama ini namun tidak pasti akan menyokong Pakatan Harapan (PH) semata-mata kerana Dr Mahathir berada bersama kumpulan pembangkang tersebut.

Menurutnya, beliau tidak pasti dengan kemampuan kumpulan pembangkang untuk kekal bersama dengan sejarah serangan berbentuk peribadi di kalangan pimpinan kanan PH sekarang dengan Dr Mahathir ketika beliau masih mengepalai kerajaan.

“Tak dapat dinafikan kebolehan dan kredibiliti Tun (Dr Mahathir) dalam membangunkan Malaysia dan ia harus dipuji. Tapi (adakah) faktor Tun untuk buat saya undi PH, mungkin tidak. Memang tak disangkal lagi pandangan, idea, visi beliau sangat bagus dan boleh diguna pakai untuk manifesto PH.

“Akan tetapi, sampai bilakah Tun akan berada dalam PH? Sampai bilakah suaranya akan didengar dan diterima dalam PH? Adakah Tun akan digugurkan perlahan-lahan dari PH selepas PRU14?” soal pemuda kelahiran Tangkak itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.