PERMOHONAN MAAF DR M: MUNGKIN TUHAN TERIMA TAPI BUKAN SAYA

“Bagi saya, sebagai manusia biasa, walaupun beliau memohon maaf , dalam hati saya, saya tidak dapat menerimanya, tetapi mungkin Tuhan boleh menerimanya.

“Sekalipun jika beliau memohon maaf, itu adalah satu keputusan politik. Ia bukan datang dari hatinya,” kata Pengerusi PSM Dr Mohd Nasir Hashim, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 15 bulan semasa Operasi Lalang, memberitahu Malaysiakini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam, di mana bekas perdana menteri itu rela dipersalahkan atas penahanan lebih 100 aktivis, wartawan dan ahli politik pembangkang semasa Operasi Lalang.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, turut melahirkan rasa kesal bahawa sesetengah tahanan telah diseksa semasa penahanan mereka di bawah ISA.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan bahawa tindakan keras itu bukanlah keputusannya.

Nasir menyifatnya sebagai satu alasan yang lemah kerana Dr Mahathir adalah perdana menteri ketika Operasi Lalang dilancarkan.

Kata, ia (Operasi Lalang) berlaku, ia tentunya berlaku dengan restu beliau.

“Siapakah yang berkuasa? Polis atau beliau,” tanya Nasir sambil menyifatkannya sebagai satu percubaan untuk memanipulasi jalan keluar.

Sementara itu, Lim Chin Chin (gambar), seorang lagi bekas tahanan ISA ketika Operasi Lalang, berkata beliau gembira kerana Dr Mahathir rela dipersalahkan berhubung penahanan tersebut.

Lebih penting lagi, katanya, ialah untuk HARAPAN menghapuskan undang-undang penahanan pencegahan sebaik sahaja mereka berkuasa.

“Oleh kerana beliau (Dr Mahathir) tahu ia boleh disalahgunakan dan beliau sendiri pernah melakukannya, saya harap apabila mereka menang, mereka akan memansuhkan semua undang-undang tahanan pencegahan ini,” katanya.

Lim ditahan selama dua tahun tanpa dibicarakan di bawah ISA selepas dituduh sebagai “komunis”.

Penasihat Suaram, Kua Kia Soong, seorang lagi bekas tahanan ISA, sebelum ini mengatakan bahawa Dr Mahathir harus bertanggungjawab terhadap tindakan polis yang menjalankan arahan, selepas beliau mengakui berlaku penyeksaan semasa Operasi Lalang.

– M’kini

.