PERKASA TIDAK HALANG AHLI BERTANDING PRU-14

SEREMBAN 2 Jan. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak menghalang ahlinya da­ripada bertanding mewakili mana-mana parti politik atau menjadi calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya mengamalkan sikap terbuka dalam hal tersebut kerana menyedari pertubuhan itu dianggotai oleh individu dari pelbagai latar belakang politik.

“Saya didatangi beberapa ahli (bertanya perkara itu) dan saya sedia mendengar pandangan mereka, malah saya sendiri pernah bertanding dalam pilihan raya sebagai calon Bebas di Parlimen Pasir Mas.

“Dulu saya seorang sahaja dari Perkasa, tetapi mungkin kali ini ramai akan bertanding. Walau bagaimanapun, kita akan buat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum menyokong mana-mana ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Asrama Anak Yatim dan Miskin Yayasan Murad di Gedung Lalang, Ampangan di sini semalam.

Yang turut hadir Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan, Khaidir Jamal dan Pengasas Yayasan Murad, Prof. Datuk Dr. Abdul Murad Ahmad.

Dalam pada itu, Ibrahim mengulangi pendirian Perkasa untuk kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

“Ada yang desak kita buat parti politik sendiri, ada juga gesa kita sertai parti politik. Buat masa ini saya lihat banyak wakil rakyat tertakluk de­ngan parti mereka.

“Kalau ada perkara tak betul, mereka tak dapat bercakap untuk rakyat kerana terikat dan tidak boleh lawan parti.

“Contohnya, dalam isu pembalakan di Kelantan. Orang Asli marah dengan isu tersebut tetapi wakil rakyat Pas tidak dapat bersuara kerana Pas yang memerintah negeri itu,” katanya.

Terdahulu dalam majlis itu, Ibrahim menyerahkan sumbangan daripada Perkasa kepada 38 anak yatim dan miskin di asrama tersebut.

– UTUSAN

.