PERKASA SERU BOIKOT STARBUCKS KERANA DUKUNG LGBT

Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA menyeru orang ramai memboikot rangkaian kopi popular Starbucks kerana mendukung hak komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurut Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) PERKASA, Amini Abdullah, kerajaan juga perlu membatalkan lesen syarikat berkenaan, termasuk Microsoft kerana mempromosi perkahwinan sejenis.

“Sokongan mereka kepada perkahwinan sejenis dan komuniti LGBT tidak selari bahkan bertentangan dengan aspirasi negara dan agenda nasional,” kata Amini dalam satu kenyataan hari ini.

Amini merujuk dukungan Pengerusi Starbucks Howard Schultz terhadap perkahwinan sejenis dan LGBT, tanpa memetik sebarang laporan khusus.

Pada tahun 2013, Schultz mengakui bahawa pendirian pro-LGBT oleh Starbucks telah menurunkan pendapatan syarikat itu.

Pendirian Amini Amir dan PERKASA diihat selari dengan kenyataan Muhammadiyah, organisasi Muslim kedua terbesar Indonesia yang mendakwa mempunyai sekitar 30 juta ahli.

Pemimpin Muhammadiyah, Anwar Abbas memberitahu Reuters baru-baru ini bahawa kerajaan Indonesia perlu membatalkan lesen operasi Starbucks kerana sokongan syarikat itu kepada komuniti LGBT “tidak selaras” dengan ideologi negara.

“Jika Starbucks hanya menjalankan perniagaan, maka baiklah, tapi jangan bawa ideologi ke sini,” kata Abbas.
Sementara itu, Amini Amir berkata gerakan LGBT bertentangan ajaran Islam, Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara.

“PERKASA juga percaya amalan LGBT adalah amalan yang bukan sahaja bertentangan dengan Islam sejak sekian lama bahkan bertentangan dengan naluri dan fitrah manusia.

“Amalan LGBT tidak pernah mendapat pengiktirafan majoriti umat Islam di negara ini dan dunia. Tidak pernah ada satupun fatwa sejak 1438 tahun yang lalu yang membenarkan amalan LGBT,” katanya.

– M’kini

.