PERKASA SELANGOR NAFI ADA KAITAN DENGAN BERSATU

PUCHONG – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor menafikan NGO itu mempunyai hubung kait dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti didakwa sesetengah pihak berikutan  namanya seakan-akan sama.

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Borhan Ahmad Zakaria berkata, ramai ahli yang keliru berhubung perkara tersebut dan pihaknya kini terpaksa memberi penjelasan bagi memperbetulkan keadaan.

 “Timbul tanda tanya dan ramai anggap Perkasa berkait rapat dan ada persamaan dengan Bersatu kerana nama hampir sama.
 “Jadi kami terpaksa beri penjelasan untuk betulkan keadaan terutama kepada yang keliru mengenainya,”katanya ketika berucap pada Persidangan Khas Tahunan Pribumi Perkasa Parlimen Puchong 2017, di Kampung Kenangan, di sini malam semalam.

Hadir sama dalam program itu Naib Presiden Perkasa Malaysia, Syed Osman Mansor.

Borhan berkata, Perkasa berfungsi sebagai NGO bertanggungjawab menjawab segala permasalahan dan isu yang dilihat boleh mengganggu-gugat kedudukan orang Melayu di negara ini

“Perkasa berbeza dengan parti politik kerana tugas kami memastikan tiada pihak yang cuba mencabar apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Namun kita tiada masalah bekerjasama dengan parti politik yang menjaga kepentingan agama,  bangsa dan tanah air. Apa yang  penting matlamat kita supaya Melayu diperkasakan menerusi Perkasa,”katanya Perkasa kini mempunyai kira-kira 80,000 ahli di Selangor.

Terdahulu Borhan berkata, pihaknya kini giat melakukan ‘kebangkitan’ semua ahli Perkasa  bukan sahaja di Puchong tetapi di parlimen lain yang sebelum ini didapati ‘tidur’.

Katanya, beliau membangkitkan semula ahli dengan isu yang meyakinkan bahawa perjuangan Perkasa jelas tidak lari dari asas dan dasar Perlembagaan Persekutuan.

“Sebelum ini banyak berlaku salah faham, bila saya ambil alih ketuai Selangor saya cari pejuang asal, bukan saya tidak hormat pejuang baharu tapi pejuang asal lebih faham perjuangan Perkasa.

“Dan ternyata bila dah jumpa pejuang lama kita dapat himpunkan kembali ahli lama dan baharu malah mereka kini lebih bersemangat,”katanya.

– Sinar harian

.