PERKASA KECAM MENTERI SINGAPURA

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam yang merendah-rendahkan orang Melayu di negara ini dengan menyifatkannya sebagai biadab selain melanggar tatasusila diplomasi antarabangsa.

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, kenyataan menteri kanan negara jiran itu juga merupakan penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong iaitu secara tidak langsung telah mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia.

“Bagaimana sekiranya pemimpin Malaysia membuat kenyataan buruk tentang negara pulau itu? Apakah mereka suka? Jangan sesekali memandang enteng kepada Malaysia.
“Kami menganggap beliau mempunyai niat jahat untuk menghina negara ini. Perkasa membantah keras kenyataan ini dan memberi peringatan kepada beliau supaya tidak mengulangi perkara seumpamanya lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Channel News Asia baru-baru ini melaporkan Shanmugam ketika berucap di dalam satu majlis mendakwa orang Melayu Singapura jauh lebih baik berbanding Malaysia atau pun Indonesia daripada aspek pelajaran, kemahiran dan kekayaan.

Mengulas lanjut, Sirajuddin meminta Wisma Putra memanggil segera Duta Singapura dan memberikan surat bantahan keras.

Jelas Sirajuddin, Wisma Putra juga hendaklah mengambil tindakan tegas, tanpa berlengah sebagaimana yang diperuntukkan di dalam amalan diplomasi antarabangsa.

– UTUSAN