PERKASA: JANGAN SOROK ‘KEKOTORAN’ 1MDB, JIKA ADA

PERKASA mendesak agensi-agensi kerajaan, termasuk Pejabat Peguam Negara, sentiasa responsif terhadap pelbagai berita dan perkembangan baru mengenai IMDB.

Ini, kata kumpulan pendesak Melayu itu, dengan memberikan penjelasan segera mengenainya kepada rakyat.

Naib Presiden PERKASA Datuk Ruhanie Ahmad membangkitkan perkembangan di Singapura apabila mahkamah negara itu menjatuhkan hukuman ke atas pengurus Falcon Private Bank Jens Fred Sturzenegger.

“PERKASA berpendapat bahawa rakyat Malaysia perlu diberitahu hal sebenar mengenai perkembangan seperti ini untuk mengelakkan penghakisan kepercayaan rakyat terhadap pemerintah jadi semakin parah,” kata Ruhanie.
“Ini kerana persepsi negatif rakyat berkaitan kemelut 1MDB boleh menjejaskan kekuasaan negara dan sekali gus mengancam kesejahteraan dan masa depan sosio-ekonomi rakyat pribumi,” katanya lagi yang juga pengerusi biro ekonomi dan agenda nasional bumiputera.

Sturzenegger dihukum penjara selama 28 minggu dan denda sebanyak S$128,000 selepas mengaku salah terhadap enam pertuduhan berkaitan siasatan Singapura ke atas 1MDB.

Menurut Channel News Asia, Sturzenegger mengaku salah terhadap pertuduhan gagal melaporkan urus niaga berpotensi jenayah melibatkan berbilion-bilion dolar dan berbohong kepada pihak berkuasa bagi melindungi kepentingan kewangan Jho Low.

Sturzenegger didakwa kerana gagal mematuhi arahan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) untuk melaporkan pemindahan mencurigakan bernilai AS$1.262 bilion kepada dua akaun bank Falcon pada 2013.

Dalam kenyataan hari ini, Ruhanie, bekas pemimpin Majlis Anggota Parlimen BN (BNBBC), itu juga berkata sebarang “kekotoran” tidak harus disorok bawah permaidani.

“Janganlah kemelut 1MDB dipandang ringan, janganlah ia diizinkan berlarutan, dan jangan sekali-kali sorokkan apa juga kekotoran mengenainya bawah permaidani, jika ada.

“PERKASA insaf bahawa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mungkin diadakan tahun ini.

“Oleh sebab itu, apa juga isu yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat harus ditangani dengan segera dan secara telus, jika parti pemerintah (BN) mahu terus mendapat kepercayaan rakyat,” tambahnya.

– M’kini

.