PERKASA CADANG HUKUMAN ROTAN MANDATORI, PENJARA SEUMUR HIDUP PESALAH RASUAH

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan supaya pesalah rasuah dikenakan hukuman rotan mandatori dan penjara seumur hidup.

Pengerusi Biro Integriti dan Anti Rasuah Perkasa Jais Abdul Karim berkata hukuman berat itu, yang dikenakan bagi kesalahan mengedar dadah, perlu dilaksanakan bagi membendung masalah rasuah di negara ini.

“Justeru itu, kita meminta supaya hukuman rotan mandatori dan penjara seumur hidup perlu diperhalusi supaya setimpal dengan kesalahan itu,” katanya pada Forum Rakyat Bangkit Menentang Rasuah anjuran Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini, malam Ahad.

Jais berkata kerajaan juga perlu memperkenal akta baharu yang dikenali sebagai ‘Akta Sabotaj Ekonomi’ bagi membolehkan pesalah rasuah ditahan tanpa jaminan dalam tempoh masa tidak terhad.
Akta itu yang membawa kesan sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diperlukan supaya proses siasatan boleh dijalankan dengan lengkap.

“Tahanan tanpa jaminan dan had ini perlu supaya tidak memberikan peluang kepada perasuah menghapuskan bahan bukti atau mempengaruhi saksi yang terlibat,” katanya.

Jais berkata rakyat Malaysia di semua peringkat juga mesti berani dan proaktif untuk tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, katanya laporan juga boleh disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antirasuah supaya mereka boleh membantu menyalurkan laporan kepada pihak berkuasa.

– BERNAMA

.