‘PERJUMPAAN NAJIB-TRUMP TAK PENGARUHI SIASATAN DOJ’

Siasatan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan skandal 1MDB adalah bebas daripada pengaruh perbincangan dan perjumpaan antara Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Huckabee Sanders berkata perbincangan itu akan tertumpu kepada pelbagai isu serantau dan keselamatan.

“(Mereka akan) berbincang tentang cara memperkukuhkan kerjasama banteras pengganas, tentunya menghapuskan ISIS, menangani isu Korea Utara, dan memastikan kita mempromosikan keamanan maritim di Laut China Selatan.
“Kita tidak akan memberi komen mengenai siasatan berterusan oleh DOJ, dan siasatan itu tidak berkaitan politik dan sudah tentu bebas daripda apa-apa yang berlaku esok (hari ini),” katanya pada taklimat media semalam.

Sanders ditanya sama ada Trump akan menjawap soalan siasatan DOJ atau mengelakkan isu berkenaan, dan apa yang diharapkan daripada perjumpaan itu yang dijadualkan hari ini.

DOJ sedang menyiasat dakwaan penyelewengan sebanyak AS$4.5 bilion daripada 1MDB berdasarkan alasan bahawa sebahagian dana itu telah disalurkan menerusi sistem kewangan Amerika Syarikat.

Ia telah memfailkan beberapa saman sivil sejak tahun lalu untuk merampas dakwaan hasil penyelewengan (berjumlah AS$1.7 bilion) dan juga mendedahkan pada pemfailan mahkamah bulan lalu bahawa siasatan jenayah sedang dijalankan.

Saman pelucuthakan sivil DOJ mengaitkan “Malaysian Official1” (MO1) dalam skandal 1MDB dan memaklumkan bahawa sebahagian dana firma pelaburan negara Malaysia itu telah dialihkan melalui akaun banknya dan digunakan untuk membeli berlian kepada isterinya.

MO1 didakwa merujuk kepada Najib, tetapi perdana menteri itu berulang-kali menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

– M’kini

.