‘PERJANJIAN SETAN’ DI PULAU PINANG

Dalam satu tulisan yang terbit di portal Malaysian Insight kelmarin, saya sebutkan sudah sampai waktunya Pulau Pinang perlu mempunyai seorang ketua menteri Melayu.

Sangat tidak munasabah jawatan itu digilirkan hanya kepada seseorang daripada etnik Cina. Lebih-lebih tidak masuk akal kalau calon itu datang dari satu keluarga pula. Warisan lapuk ini aneh kalau diteruskan oleh Pakatan Harapan yang menjadikan merit sebagai pertimbangan utama untuk melantik seseorang ke jawatan sepenting ketua menteri.

Dalam undang-undang tubuh Pulau Pinang juga tiada halangan kalau seorang ketua menteri Melayu dipilih. Maka, apa yang diamalkan di Pulau Pinang hari ini bukanlah sesuatu yang diwarisi sangat daripada BN, tetapi lebih tepat ia adalah daripada pemikiran penjajah. Inilah yang saya namanya sebagai “perjanjian setan”.

Sepanjang 60 tahun kemerdekaan negara, Pulau Pinang pernah mempunyai hanya empat orang ketua menteri. Sebagai perbandingan, Malaysia ini pun dalam tempoh sama sudah mempunyai enam orang PM dan nak masuk yang ketujuh tak berapa lagi lagi.

Tidak ada sebuah negeri pun di Semenanjung yang mempunyai jumlah ketua menteri atau menteri besar sesikit Pulau Pinang. Negeri sekecil Perlis sekalipun sudah mempunyai lapan orang menteri besar sejak merdeka.

Ketua menteri pertama Pulau Pinang adalah daripada MCA sebelum beralih kepada Gerakan pada 1969. Kemudian Gerakan menyertai BN dengan seorang ketua menteri paling lama yang memegang jawatan sehingga empat penggal iaitu Dr Koh Tsu Koon. Pada 2008, BN kalah dan kini sudah dua penggal Lim Guan Eng dari DAP menjadi ketua menteri.

2 parti perkauman Cina

Daripada susur waktu itu sahaja cukup untuk menunjukkan bahawa percaturan politik di Pulau Pinang tak pernah lebih daripada hanya antara dua parti yang perkauman Cina iaitu Gerakan dan DAP. Maka berdentam-dentum pun guruh di langit, politik Pulau Pinang sama sekali bukan untuk orang Melayu. Saya tak pasti berapa lama lagikah rakyat boleh dikhayalkan dengan isu-isu semasa tetapi menutup pula perihal dasar.

Pakatan Harapan sebagai gabungan yang selalu menyebutkan dirinya membawa “politik baru” perlu memecahkan pemikiran penjajah dan perjanjian setan di Pulau Pinang. Mereka tidak boleh bersenang-senang menuding menyalahkan BN atas kelemahan sendiri termasuklah tidak tahu apa yang perlu dibuat apabila berkuasa.

Tidak keterlaluan untuk ditanya, apakah benar politik baru termasuk yang berasaskan merit itu menjadi gaya politik Pakatan Harapan, atau sesungguhnya penyedap bicara sahaja?

Kebetulan Guan Eng sudah dua penggal menjadi ketua menteri. Waktunya beliau berundur kini tiba. Pengunduran beliau bukan kerana beliau tak layak, tetapi atas perkara prinsip dan moral di mana Pakatan Harapan sendiri mahukan jawatan tertinggi seperti PM dan ketua menteri, dihadkan kepada dua penggal sahaja. Seseorang ketua negara atau negeri yang terlalu lama dikesan menjadi punca wujudnya perlakuan seperti korupsi dan cenderung menjadi kuku besi.

Azam dan janji politik sebegini tidak perlu sampai ke Putrajaya baru hendak dilaksanakan. Di peringkat negeri pun sudah boleh dibuat. Bahkan perbincangan mengenai perkara ini bukanlah baharu dan berkali-kali diulangi oleh Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin dalam ucapannya.

Apa yang penting diwujudkan ialah satu sistem pentadbiran yang baik di mana siapa pun yang menjadi ketua menteri dapat dijamin sistem pentadbiran tetap bergerak dengan baik dan bermanfaat kepada rakyat. Politik yang terlalu bergantung kepada tokoh dan individu adalah politik lapuk dan tidak berjiwa reformasi.

Amerika tetap baik-baik sahaja

Kita lihat di beberapa negara di mana jawatan kepala negara dihadkan kepada dua penggal seperti Indonesia dan Amerika Syarikat. Mungkin ramai yang tidak menyukai Donald Trump, tetapi kemenangan Trump tidaklah sampai menyeret Amerika Syarikat jatuh ke lembah kehancuran. Amerika tetap baik-baik sahaja dan berjalan sepertimana perlunya sebuah negara maju berjalan.

Begitu juga di Indonesia—contoh dari jiran kita yang dekat. Tidak kurang ramai yang menjangkakan betapa buruknya keadaan Indonesia dengan kemenangan Jokowi. Beliau bukan sahaja belum satu penggal sebagai Gabenor Jakarta, tetapi karektor Jokowi yang ‘lembik’ juga akan menjadikan Indonesia turut jadi lembik.

Selepas tiga tahun sebagai presiden, republik itu tetap berjalan seperti perlunya sebuah negara berjalan. Dua bukti ini menunjukkan bahawa sesebuah negara yang mempunyai sistem yang ampuh dan berkesan, maka sesiapa pun yang menjadi kepala negara hanyalah satu keperluan berbanding sekian banyak keperluan lainnya.

Inilah perbezaan ketara dengan negara-negara yang percaya bahawa tokohlah yang menyelamatkan bangsa. Sekali lagi contoh yang dekat boleh diambil iaitu dari Singapura. Sejak merdeka dan sejak berpisah dengan Malaysia, Singapura baru mempunyai tiga PM.

Bermula daripada Lee Kuan Yew yang berkuasa selama 25 tahun, beralih kepada Goh Chok Tong selama 13 tahun sebelum kembali semula kepada keluarga Lee iaitu anaknya, Lee Hsein Loon sejak 2004 sehingga kini. Dalam tempoh yang begitu lama dengan hanya tiga PM, apa yang terbayang oleh kita ialah betapa kurangnya bakat kepimpinan di Singapura. Selain itu, kita juga wajar mencurigai bagaimana berkesannya sistem kenegaraan di Singapura sehingga segala-galanya perlu bergantung kepada politik tokoh.

Saya tak fikir Malaysia terlalu lemah, termasuklah Pulau Pinang. Keseriusan Pakatan Harapan dalam hal merit hanya boleh dilihat apabila mereka dengan segara menamakan calon-calon ketua menteri Melayu sebelum PRU tak lama lagi. Itu barulah “harapan” layaknya!

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

– M’kini

.