PERJANJIAN RM42 BILION BOEING PATUT LEBIH RENDAH, KATA WSJ

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tak perlu berbangga tentang perjanjian di antara Boeing dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) bernilai AS$10 bilion (RM42 bilion), lapor The Wall Street Journal hari ini.

Laporan itu menyebut angka yang dikeluarkan oleh pengeluar pesawat AS itu adalah sekitar AS$3 bilion iaitu sebelum diskaun dan jumlah kerja-kerja penyelenggaraan yang belum ditentukan, yang akan membawa kepada angka muktamad, kata akhbar perniagaan  itu.

Perdana Menteri Najib Razak sebaik saja bertemu Trump mengatakan perjanjian Boeing itu bernilai AS10 bilion.

Semalam, MAB dan Boeing menandatangani memorandum untuk membeli 16 pesawat iaitu lapan 787 Dreamliner dan lapan 737 MAX.

Menurut WSJ, perbezaan di antara nilai jualan yang digambarkan pemimpin politik dan perjanjian sebenar di antara Boeing dan MAB menggambarkan beberapa faktor rumit dalam industri pesawat, termasuk perjanjian jualan sedia ada, perjanjian masa depan berpotensi dan jadual penghantaran pesawat.

White House kemudian menjelaskan yang perjanjian itu bernilai RM4 bilion tetapi tidak menjelaskan perbezaan itu dengan ulasan terdahulu Trump.

Semasa lawatan ke White House, Najib mengumumkan rancangan untuk membeli pesawat tambahan untuk MAB iaitu 25 jet Boeing 737 dan lapan pesawat 787 Dreamliner.

Beliau berkata MAB mungkin akan menambah lagi 25 pesawat 737 dalam masa terdekat yang akan bernilai lebih daripada AS$10 bilion dalam tempoh lima tahun. Pihak Boeing bagaimanapun tidak mengulas hal ini.

Selasa lalu, Boeing dan MAB menandatangani Memorandum Persefahaman untuk membeli 16 pesawat – masing-masing lapan 787 Dreamliners dan 737 MAXs.

Bagaimanapun, ia melibatkan penukaran lapan pesanan yang dibuat pada tahun lepas iaitu 25 pesawat Boeing 737 kepada pembelian pesawat Dreamliner, dan hak untuk membeli lapan lagi pesawat lebih kecil.

MAB telah memesan berunding dengan Boeing untuk membeli pesawat 787 dan Airbus.

Penukaran pesanan kepada pesawat yang lebih besar itu adalah luar biasa kerana kebanyakan syarikat penerbangan telah mengurangkan pembelian pesawat bersaiz besar untuk membeli pesawat lebih kecil, kata WSJ.

– https://www.themalaysianinsight.com

.