PERISIKAN AS: PUTIN ‘ARAH’ USAHA BANTU TRUMP

Presiden Rusia Vladimir Putin “mengarahkan” satu kempen untuk mempengaruhi pilihan raya presiden Amerika Syarikat untuk melemahkan kepercayaan terhadap proses demokrasi dan merosakkan peluang calon Parti Demokratik Hillary Clinton, demkian menurut penilaian perisikan AS yang dikeluarkan semalam.

Putin dan kerajaan Rusia selesa dengan calon Republikan Donald Trump dalam usaha, yang termasuk menggodam server emel Parti Demokratik dan mendedahkan dokumen kepada WikiLeaks, demikian menurut versi tidak sulit daripada laporan sulit yang disediakan untuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Trump.

“Matlamat Rusia adalah untuk melemahkan kepercayaan orang ramai terhadap proses demokrasi Amerika Syarikat, merendah-rendahkan Clinton, dan merosakkan peluang kemenangan sebagai bakal presiden.

“Kami seterusnya menilai Putin dan kerajaan Rusia memberi keutamaan yang jelas untuk presiden dipilih Trump,” kata laporan itu.

CIA, FBI dan Agensi Keselamatan Negara semuanya yakin bahawa Putin telah berusaha untuk mempengaruhi pilihan raya itu.

Perisikan tentera Rusia mengeluarkan maklumat dari emel Jawatankuasa Nasional Parti Demokratik yang digodam dan dari pengerusi kempen Clinton, John Podesta, termasuk kepada WikiLeaks, demikian menurut kesimpulan agensi-agensi berkenaan.

Tindakan Rusia itu termasuk bukan sahaja menggodam, tetapi juga satu kempen propaganda, termasuk penyebaran “berita palsu,” laporan oleh penyiar negeri RT dan rangkaian ‘trolls’ profesional di internet untuk menyebarkan maklumat palsu di media sosial.

Usaha ini adalah “peningkatan ketara secara langsung tahap aktiviti dan skop usaha berbanding dengan operasi sebelumnya yang menyasarkan pilihan raya AS” dan kemungkinan akan digunakan untuk usaha pada masa depan di Amerika dan di tempat lain, kata laporan itu.

Walaupun Moscow mendapat akses kepada badan pilihan raya negeri dan tempatan AS, penilaian perisikan itu menyimpulkan bahawa ia tidak menjejaskan keputusan sebenar pengundian.

Kempen Rusia itu bertujuan untuk melemahkan usaha demokrasi liberal yang diketuai AS, yang dilihatnya sebagai ancaman kepada Rusia dan rejim Putin, dan cuba menyasarkan Clinton kerana Putin menyalahkannya berkaitan protes terhadap kerajaannya, kata laporan itu.

Putin juga percaya hubungan perniagaan Trump dengannya lebih cenderung untuk berurusan secara positif dengan Rusia, berdasarkan kepada pengalaman beliau dengan bekas Canselor Jerman Gerhard Schroeder dan bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi.

Obama telah diberi taklimat pada hari Khamis tentang satu versi sulit penilaian tersebut dan Trump telah diberi taklimat itu pada hari Jumaat.

Trump sebelum ini telah mempersoalkan penemuan perisikan itu dan selepas taklimat itu tidak menyatakan sama ada beliau kini percayai penggodam Rusia menjadi dalang dalam pencerobohan itu.

Sebaliknya beliau berjanji untuk mengambil tindakan agresif untuk menghentikan serangan siber dan bertegas “ia sama sekali tidak memberi kesan kepada keputusan pilihan raya termasuk fakta bahawa tidak ada apa jua gangguan dengan mesin mengundi “. [Baca berita penuh]

– Dpa

.