PERHIMPUNAN UMNO PALING GENTING, 4 PERKARA JADI TUMPUAN

WALAUPUN ia adalah Perhimpunan Agung UMNO, parti terbesar negara itu dijangka akan memberikan banyak tumpuan kepada musuhnya, PAS, DAP dan bekas presiden yang kini menentangnya, Dr Mahathir Mohamad.

Turut penting adalah ucapan perdana menteri yang juga merupakan perdana menteri Malaysia kepada hampir tiga juta ahli Umno tentang situasi ekonomi negara yang dijangka akan bertambah baik tahun depan, kata penganalisis Hisomudin Bakar.

Khabar baik tentang ekonomi akan menjadi bahagian terpenting mesej kempen Umno bagi meredakan kemarahan kumpulan kelas pekerja Melayu luar bandar tentang situasi gaji yang tak banyak berubah, kelompok yang merupakan kumpulan undi terbesar dalam parti itu.

Empat perkara ini akan menentukan sama ada pemerintahan Umno di Malaysia yang tidak pernah dicabar sejak 60 tahun Merdeka akan dapat diteruskan, ketika seluruh negara sedang bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Penganalisis dan ahli politik veteran percaya yang Umno sedang berdepan cabaran paling genting dalam PRU14 akan datang- yang besar kemungkinan akan diadakan pada Mac atau April tahun depan.

Umno berdepan kebangkitan pembangkang melalui Pakatan Harapan, yang disertai bekas presidennya, Dr Mahathir serta parti baru ditubuhkannya Bersatu yang terdiri daripada bekas ahli Umno yang bersedia mencabar dominasi Umno di 87 kerusi Parlimen milik parti Melayu terbesar itu. Sejumlah 18 daripada kerusi itu adalah kerusi marjinal yang dimenangi dengan majoriti kurang 2,000 undi.

Kali terakhir Umno berdepan pilihan raya segenting ini adalah pada 1990 dan 1999 apabila krisis dalaman parti menyebabkan perpecahan dan kemunculan parti serpihan- Semangat 46 pada 1990 dan PKR (ketika itu Parti Keadilan Nasional) pada 1998.

Pada tahun-tahun itu, Umno dan gabungan pemerintah Barisan Nasional yang diterajuinya kehilangan beberapa kerajaan negeri. Ia juga menyaksikan kehilangan banyak kerusi Parlimen di kawasan luar bandar Melayu yang berjaya dirampas parti serpihan ini.

Tetapi dalam pilihan raya itu, Umno masih boleh mengharapkan undi daripada pengundi bukan Melayu di Semenanjung menerusi rakan sekutunya, MCA, MIC dan Gerakan yang masih berpengaruh seterusnya memberikan BN kerusi yang cukup di Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Tetapi dalam pilihan raya kali ini, Umno tidak boleh berharap lagi kepada sekutunya dalam BN. Berdasarkan kajian yang dilakukan Merdeka Center menunjukkan yang kebanyakan pengundi Cina Malaysia yang membentuk 29.68% jumlah pengundi besar kemungkinan tidak lagi menyokong BN.

Hampir separuh pengundi India pula dikatakan akan turut memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan sementara di Sabah- sebuah lagi kubu kuat BN- turut berada dalam kelompok anti BN dan pro kebangkitan parti tempatan, kata penganalisis Hisommudin Bakar dari Ilham Centre.

“Undi orang Melayu sangat penting dalam pilihan raya ini dan perhimpunan ini adalah tentang membina benteng kekuatan di 87 kubu Parlimen milik Umno,” kata Hisommudin.

“Hanya lima atau 10 peratus undi berubah boleh menyebabkan kawasan ini jatuh dan berakhirnya pemerintahan BN.”  

Ramai penganalis dan pemerhati politik menyifatkan kerjasama antara PAS dan Umno boleh memberi kesan buruk kepada kedua-dua parti itu kerana akar umbi yang sudah lama bermusuh akan sukar menerima kenyataan mereka kini diperlukan pemimpin atasan untuk berbaik-baik.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2017.
Ramai penganalis dan pemerhati politik menyifatkan kerjasama antara PAS dan Umno boleh memberi kesan buruk kepada kedua-dua parti itu kerana akar umbi yang sudah lama bermusuh akan sukar menerima kenyataan mereka kini diperlukan pemimpin atasan untuk berbaik-baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2017.

Mereka yang berontak dan bertaubat

PAS, DAP dan Dr Mahathir saling berkaitan dan sama-sama memberikan kesan kepada undi orang Melayu Islam Umno. Ucapan dasar Presiden Najib Razak pada 7 Disember akan menyentuh ketiga-tiga perkara ini dan bagaimana ia akan ditangani dalam strategi parti untuk PRU14.

Pada perhimpunan tahun lepas, Umno berjaya memomokkan DAP untuk memainkan ketakutan orang Melayu yang mereka akan kehilangan negara yang akan dikuasai Cina Malaysia sekiranya mereka mengundi PH.

Gabungan pembangkang terdiri daripada DAP, Amanah, PKR dan Bersatu.

Pemimpin Umno berulang kali mendakwa PH sebenarnya dikuasai dan diuruskan oleh DAP.

Sumber Umno mengatakan mesej itu akan diulangi lagi tahun ini. Berkemungkinan besar sebuah video mengenai DAP akan dimainkan semasa ucapan presiden.

Tanggapan presiden mengenai hubungan DAP dan Dr Mahathir juga akan memberi isyarat besar kepada strategi parti.

Sejak beberapa bulan lalu, Najib berterusan menyerang bekas tok gurunya itu, melayan Dr Mahathir dan Bersatu sebagai musuh utama orang Melayu dan Umno.

Tetapi sumber parti yang lain memberitahu bahasa kasar itu mungkin akan disulami dengan pesanan yang masih belum terlewat untuk pemberontak ini untuk bertaubat dan kembali kepada Umno.

Ia akan ditujukan kepada pemimpin Bersatu, bekas ahli Umno yang turut meninggalkan parti itu selepas Dr Mahathir memutuskan meninggalkan Umno pada 2015.

“Umno sentiasa menerima kembali mereka yang memberontak dengan tangan terbuka seperti mana semua ahli bekas PKR dan Semangat 46 yang kembali kepada kita selepas berada dalam pembangkang. Perkara yang sama dijangka berlaku dengan Pribumi (Bersatu),” kata sumber itu.

Isyarat sebegitu tentang Bersatu, kata pemimpin akar umbi Umno Al Hafizi Abu Bakar sentiasa ditunggu-tunggu ahli Umno.

“Kita menunggu sama ada akan wujud pengumuman tentang bagaimana kita boleh berbaik-baik dengan Bersatu dan mungkin juga sampai meredakan perasaan Dr Mahathir,” kata ketua Pemuda Umno Kuala Langat itu.

“Perjanjian” dengan PAS

Walaupun spekulasi bertiup kencang mengenai kemungkinan wujudnya kerjasama pilihan raya antara PAS dan Umno, ia bagaimanapun dijangka tidak akan berlaku dalam masa terdekat menjelang PRU14.

Beberapa orang pemimpin Umno seperti Ketua Penerangan Annuar Musa sudah bercakap tentang kerjasama PAS-Umno tetapi bentuk kerjasama masih belum jelas.

Sumber parti memberitahu yang strategi Umno adalah untuk mesra dengan PAS hanyalah untuk memastikan parti Islam itu menjauhi PH.  

PAS bekerjasama dengan Semangat 46 dan PKR pada era Umno menyerangnya bertubi-tubi, seperti mana ketika pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun sebagai presiden Umno.

Strategi semasa Umno dengan PAS, yang mempunyai sokongan kuat orang Melayu luar bandar akan memecahkan undi anti Umno, kata sumber itu.

Penganalisis mengatakan berdasarkan pengalaman sejarah, BN sentiasa menang dalam pertandingan tiga penjuru.

Hisommudin berkata PAS berisiko kehilangan 30% undi penyokongnya jika mereka memutuskan untuk mempunyai ikatan dengan Umno. Sebuah lagi kajian dilakukan Institut Darul Ehsan di Kelantan menunjukkan yang PAS boleh kehilangan sehingga 60% sokongan jika kerjasama parti Islam dan parti Melayu itu menjadi kenyataan.

Perkara yang sama boleh berlaku kepada Umno. Ahli Majlis Tertinggi Nazri Aziz mengatakan sebahagian ahli lama Umno merasakan dipinggir jika parti itu bekerjasama dengan PAS.

“Ramai ahli akar umbi masih terasa kerana digelar kafir oleh PAS. Mereka menyaksikan bagaimana keluarga dan masyarakat berpecah belah kerana PAS melabelkan mereka kafir (pada 80-an).

Kerjasama dengan PAS bermakna Umno akan menyerahkan kerusinya kepada parti Islam itu dan menentang PH secara bersemuka. Senario ini akan memberi manfaat kepada PH, kata Hisommudin.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.