Perhimpunan Maruah Melayu jika ada Bersih 5

KOTA BHARU – Kira-kira 1,000 ahli dan penyokong UMNO Bahagian Pasir Puteh akan bertolak ke Kuala Lumpur pada malam ini untuk mengadakan perhimpunan sekiranya Bersih 5 diadakan pada 31 Ogos ini.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata, perhimpunan tersebut diadakan bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara daripada diperkotak-katikkan oleh pembangkang.

Beliau berkata, perhimpunan yang akan diadakan oleh pihaknya tidak ada kena-mengena dengan aktivis Ali Tinju atau nama sebenarnya Mohd. Ali Baharom yang dikatakan bakal menganjurkan Perhimpunan Merah.

“Himpunan Merah sudah batal. Kita, Himpunan Maruah Melayu. Kita tidak ada sangkut paut dengan Ali Tinju malah saya tidak kenal pun siapa dia.

“Insya-Allah akan ada gabungan dengan pihak-pihak lain di Kuala Lumpur nanti, puluhan ribu akan berada di sana nanti. Semuanya sedang bergerak ke sana.

“Jika Bersih 5 adakan perhimpunan haram tanpa persetujuan kerajaan maka kita juga akan adakan perhimpunan haram, biar sama-sama bertembung, selangkah dia bergerak ke hadapan maka selangkah juga kita bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersama kira-kira 200 ahli UMNO bahagian itu menyambut ketibaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini hari ini.

Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak bagaimanapun berkata, semua pihak harus menghormati prinsip demokrasi dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Saya ingatkan mana-mana pihak jangan permainkan kedaulatan Islam dan keharmonian kaum di negara ini.

“Kita sedia mempertahankannya pada bila-bila masa biar apa pun yang terjadi,” katanya. – UTUSAN ONLINE