PERDANA MENTERI TIADA KUASA, BERMAKNA TIDAK PERLU LAGI KITA KEKALKAN KUASANYA

Semua orang ingin dan perlukan kuasa. Bagi mereka yang berjuang dalam politik khususnya, lebih-lebih lagi untuk jawatan Perdana Menteri, perkara utama yang diperlukan ialah kuasa.

Melalui kuasalah, rakyat dapat dibantu. Melalui kuasa juga, pembelaan dan perjuangan nasib rakyat dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Tanpa kuasa, perjuangan jadi tidak berguna.

Malangnya, kita punya Perdana Menteri yang terang-terang mengaku tiada kuasa, waima dalam menentukan harga minyak yang munasabah dan murah bagi rakyat.

“Harga minyak (berubah), saya tiada kuasa.

“Harga minyak naik, saya tiada kuasa, turun juga saya tiada kuasa,” kata Najib Razak.

Apa punya Perdana Menteri yang kita ada ini?

Kenapa menarik balik subsidi minyak dulu, beliau ada kuasa?

Mengapa melaksanakan GST, mengambil dana wang pencen RM4 bilion untuk 1MDB, memecat Peguam Negara dan melakukan banyak perkara lain lagi, Najib sebagai Perdana Menteri ada kuasa?

Hairan, bila tiba bab untuk meringankan beban rakyat, senang-senang Najib mengaku tiada kuasa.

Apa guna kita memiliki seorang Perdana Menteri yang mengaku tiada kuasa untuk membantu dan menolong rakyat?

Lihat perbezaan dengan Pakatan Harapan. Apa iltizam yang mereka bentangkan dalam tempoh 100 hari selepas berjaya mengambil alih Putrajaya nanti?

Antara tujuh iltizam yang yang dimuktamadkan, itu baru dalam tempoh 100 hari berkuasa, salah satunya ialah menstabilkan harga minyak pada kadar yang munasabah  untuk keselesaan dan kepentingan rakyat jelata.

Ini barulah pemimpin yang ada kuasa. Dan inilah yang perlu kita pilih untuk kesejahteraan kita kerana mereka adalah pemimpin yang tahu menggunakan kuasa untuk membela rakyat.

Bagi Najib yang secara terbuka mengaku tiada kuasa, meskipun beliau seharusnya sedar bahawa menentukan harga minyak yang murah dan stabil adalah penting bagi rakyat, tidak perlulah kita bersusah payah lagi untuk mengekalkan kuasanya.

Buat apa kita memilih pemimpin yang tiada kuasa. Kita mahu pemimpin yang benar-benar ada kuasa.

Najib tiada kuasa. Dan pemimpin yang tiada kuasa, tidak berguna walau satu sen pun kepada kita dan juga sesiapa.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my

.