PERCAYA KEBIJAKSANAAN SPRM KENDALIKAN KES AZMIN

TANJONG KARANG – BN menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan kes pemilikan harta luar biasa Menteri Besar Selangor ketika menjadi setiausaha sulit kepada Timbalan Perdana Menteri pada 22 tahun lalu.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, mereka menyerahkan kepada kebijaksanaan SPRM dalam perkara ini.

“Jika boleh diteruskan dan tidak menyalahi undang-undang, tiada sebab siasatan ini tak boleh diteruskan.

“Saya percaya kebijaksanaan SPRM dan mengambil tindakan yang boleh memberikan kes prima facies kepada suruhanjaya itu kalau siasatan baru dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Bank Rakyat berupa van pelbagai guna kepada Masjid Kampung Permatang, petang tadi.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan kredibiliti pihak berkuasa diragui, Noh menjelaskan, semua pihak perlu bersikap adil dan percaya sepenuhnya peranan yang dilaksanakan agensi kerajaan.

“Kita kena adil dan percaya semua pihak berkuasa samada polis atau SPRM atau lain-lain jalankan tugas dengan baik dan tidak memilih bulu sebab sesiapa saja yang mempunyai unsur boleh didakwa, saya yakin tindakan akan diambil.

“Bagi saya, kita kena letakkan penuh kepercayaan kepada agensi penguatkuasa ini tapi masalah bagi pembangkang, mereka sering wujudkan persepsi negatif memperlekehkan kredibiliti pihak berkuasa kepada rakyat.

“Kita boleh lihat jika pemimpin BN dikenakan tindakan, mereka akan memuji pihak berkuasa tapi jika pemimpin mereka dikenakan tindakan sama, pihak berkuasa pula dikritik dan dikutuk.

“Ini menunjukkan pembangkang seolah-olah nak memberitahu pihak berkuasa jangan usik kami…kami ni orang bersih, tiada rasuah dan tak salah guna kuasa…yang salah ni semua pemimpin BN.

“Jika ada tanggapan negatif seperti itu, kita dapat lihat reaksi mereka jika pemimpin mereka berdepan sebarang tuduhan seolah-olah menyalahkan pihak berkuasa dan kononnya mereka manusia yang bersih tiada dosa.

“Ini satu tindakan tak adil dan mungkin bagi mereka adil tapi hari ni, kita lihat Selangor wujud penyelewengan dalam Yawas dan harap SPRM dapat siasat sebaik mungkin.

“Sebab kita mahu membuktikan kepada rakyat bahawa apabila ada kuasa, mungkin mereka terlepas pandang, mungkin buat silap tu bukan peringkat atasan tapi bawahan supaya mereka tahu bukan senang nak jadi kerajaan.

“Jadi pembangkang memang mudah nak kritik macam-macam dengan air liur tapi bila mereka ada kuasa dan wujudkan dasar baru yang baik tapi segi pelaksanaannya tak baik akan beri gambaran buruk kepada kerajaan.

“Yang ni kerajaan negeri dan pembangkang kena faham, bila jadi kerajaan barulah mereka tahu dan tak dapat laksanakan seperti ‘lagu’ yang dinyanyikan sebelum ini,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my/