Percaturan politik 
DAP rugikan kaum Cina – Gerakan

KUALA LUMPUR -. Percaturan politik bermodalkan perkauman dan agama yang digunakan pakatan pembangkang terutama DAP tidak menguntungkan kaum Cina kerana ia akan terus memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini.
Ketua Wanita Nasional Parti Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, situasi tersebut tidak seharusnya dibiarkan berlarutan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Rakyat harus in­saf akan senario politik negara yang semakin meruncing dan tidak menguntungkan kaum Cina akibat permainan politik hasutan DAP.

“Kerajaan ini tidak akan jatuh. Malah perjalanan masa depan kaum Cina lebih sukar sekiranya masih mengekalkan pola pemi­lihan PRU-13 yang menolak wakil kaum sendiri untuk turut sama dalam penggubal dan pembuat dasar negara,” katanya ketika berucap dalam persidangan Perwakilan Kebangsaan Ke-45 Parti Gerakan di Menara PGRM hari ini.

Yang turut hadir merasmikan persidangan tersebut ialah Timbalan Presiden Gerakan, Dr. Cheah Soon Hai dan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang.

Menurut Lian Hoe, rakyat harus membuka mata dengan permai­nan politik pembangkang yang hanya tahu berjanji untuk mem­bela nasib rakyat.

“Kita dapat me­-
lihat pemimpin pembangkang sendiri terpalit dengan penye­le­wengan kuasa.

“Lantaran kegilaan kuasa dan kedudukan, mereka sanggup bertukar-tukar pasangan. Pas diceraikan dan pembangkang kini bergabung dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Suatu ketika dahulu mereka sesama mencaci dan meludah, kini berjabat dan berpelukan atas kepentingan peribadi ma­sing-masing,” jelasnya.

Tambahnya, untuk memastikan kemenangan dalam PRU-14 pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) harus saling menghormati dan membantu antara satu sama lain.

“Jangan sekali-kali menghina dan menyindir lantaran sikap angkuh dan menganggap diri sebagai big brother.

“Kesan luka mendalam sehingga ke hari ini, sebagai satu keluarga besar adalah amat penting untuk menjaga hubungan keakraban kekeluargaan,” katanya.

– UTUSAN

.