PERBINCANGAN TAK RASMI HARAPAN, PAS SUDAH BERJALAN

Memang ada perbincangan “sangat tidak rasmi” antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan PAS sejak beberapa bulan terakhir ini, kata Datuk Seri Azmin Ali.

Menteri Besar Selangor itu memberitahu, ia perlu dipertingkatkan dan titik pertemuan perlu dicari antara kedua-dua pihak secepat mungkin ketika pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

Menganggap sekarang adalah masa terbaik untuk pembangkang membentuk kerajaan menggantikan BN, Azmin berkata belum ada perbincangan secara rasmi dengan PAS buat masa ini.

“Kami ingin melihat wujud kerjasama dengan meletakkan rangka kerja bersama dalam PRU ke-14 bagi menjatuhkan BN.

“Matlamat utama kami ialah mengetepikan BN. Justeru mana-mana parti politik yang bersedia untuk meletakkan agenda reformasi dan menyelamatkan negara (sebagai keutamaan), kami bersedia untuk berbincang,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya, hari ini.

Azmin sebelum itu mengumumkan pembentukan sekretarian pilihan raya HARAPAN bagi memantau persiapan gabungan pembangkang menghadapi PRU ke-14.

Beliau yang baru dilantik sebagai pengarah pilihan raya HARAPAN juga berkata, pihaknya “lebih daripada gembira” dapat berbincang dengan PAS.

Kenyataan Azmin itu dibuat sehari selepas media melaporkan PKR mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur malam kelmarin.

PKR diwakili Azmin yang juga timbalan presiden PKR, serta presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Jamal tak layak

Bagaimanapun, tiada maklumat terpeinci dinyatakan mengenai tujuan dan hasil pertemuan tersebut.

Perkembangan itu berlaku ketika hubungan kerjasama politik antara kedua-dua parti sudah berkubur, dan di peringkat bawahan mereka mula bersaing sesama sendiri, termasuk di kubu penting PKR, Permatang Pauh, yang cuba dirampas PAS.

Menurut Azmin, dinamik setiap parti adalah berbeza dan HARAPAN perlu menghormati serta memahami keadaan yang dihadapi.

Kerjasama, katanya, perlu berdasarkan kepada sikap saling menghormati antara parti.

Kata Azmin, jika nanti ada keperluan perbincangan rasmi diadakan antara HARAPAN dan PAS, pemimpin gabungan itu akan dimaklumkan.

“Ini adalah komitmen kami kepada HARAPAN iaitu berkongsi maklumat dalam majlis (presiden) dan dibincangkan,” katanya.

Mengenai pertemuan malam kelmarin, Azmin menegaskan ia cuma ziarah biasa dan tiada perbincangan politik berlangsung.

Untuk rekod Abdul Hadi masih berehat daripada sebarang tugas parti selepas menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara pada Mei lalu.

Sementara itu Azmin berkata, tuduhan Datuk Seri Jamal Md Yunos bahawa BERSATU merancang kekecohan di program Nothing To Hide 2.0 semalam adalah tidak benar.

Kata Azmin, ketua Umno Sungai Besar itu bukanlah orang yang layak bercakap mengenai isu itu.

“Kita sudah nampak apa yang dia buat sebelum ini,” katanya.

Azmin juga mendakwa orang yang menimbulkan kekecohan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin semalam sebagai pihak yang tidak memahami demokrasi.

“Pada saya mereka sangat terdesak, tak ada pilihan kecuali menghentikan Dr Mahathir daripada bercakap apa yang sebenarnya berlaku.

“Tapi orang ramai sekarang – terutama generasi muda – sudah matang,” katanya.

– M’kini

.