PERBINCANGAN PKR-PAS BUKTI DENDAM KESUMAT ANWAR’

Pengesahan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bahawa beliau bersetuju supaya partinya itu mengadakan rundingan bersama PAS adalah bukti jelas dendam kesumatnya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad masih menebal.

Pegawai khas kepada perdana menteri, Datuk Rizal Mansor berkata tindakan itu turut mencetuskan krisis kepercayaan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Dr Mahathir.

“Dengan perbincangan antara PKR dan PAS itu direstui oleh Anwar Ibrahim, ia sekaligus mencetuskan krisis kepercayaan dalam Pakatan Harapan yang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Maknanya, dendam kesumat Anwar pada Mahathir masih menebal dan Mahathir juga tetap tidak mahu Anwar menjadi PM,” kata Rizal dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Anwar dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan memberi persetujuannya supaya PKR mengadakan rundingan bersama PAS, tetapi berkata beliau tidak menentang sebuah Kongres Khas bagi mendapatkan mandat akar umbi sama ada rundingan itu perlu diteruskan.

“Secara peribadi, memahami semangat demokrasi PKR, saya tidak keberatan jika ingin dikendali Kongres Khas,” kata Anwar hari ini, di tengah-tengah perang mulut melibatkan beberapa pemimpin PKR mengenai rundingan dengan PAS.

Bermuka-muka

Menurut Anwar, beliau “tidak dapat meremehkan” kerisauan beberapa pemimpin PKR mengenai rundingan bersama PAS, disebabkan persepsi hubungan erat PAS dan Umno.

Anwar bagaimanapun berkata apa yang menjadi masalah ialah sama ada sebarang keputusan kongres khas boleh dilaksanakan segera disebabkan pilihan raya umum (PRU) yang boleh berlaku bila-bila masa.

Mengulas lanjut, Rizal berkata PKR harus mengakui bahawa Anwar tidak mempercayai Mahathir.

“PKR kena akui bahawa parti Anwar tidak percaya kepada Dr Mahathir yang kini menuruti kehendak DAP sehingga terpaksa melutut kepada (Presiden PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Masakan PKR tidak tahu pendirian Dr Mahathir dan (pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang dalam hubungan dengan PAS, (Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail) dan (Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) pergi juga bertemu Abdul Hadi dengan restu Anwar,” kata Rizal.

Oleh demikian, Rizal mahu PKR berhenti bermuka-muka dan ikhlas dalam berpolitik.

“Justeru, mengaku sajalah PKR tak percaya pada Mahathir… dan berhentilah bermuka-muka, berikhlaslah dalam politik,” kata Rizal.

Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN pada 29 Ogos lalu mengeluarkan ketetapan untuk tidak akan bekerjasama dengan PAS.

Mereka juga menyebut HARAPAN sedang merangka strategi untuk menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga timbalan presiden iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

– M’kini

.