PERANG PROPAGANDA ‘PAHLAWAN’ MCA DAN DAP

Di sebalik bencana banjir di Pulau Pinang yang mengorbankan tujuh nyawa, perang propaganda antara pahlawan papan kekunci MCA dan DAP berlangsung di laman sosial.

Penyokong DAP mengirim gambar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berada di lokasi terjejas selama 25 jam selepas bencana alam itu terjadi pada 4 November.

“CM (ketua menteri) kami tidak pernah berehat, jangan terlalu bekerja keras dan jangan lupa berehat. Bravo CM!” kata keterangan yang ditulis pada gambar itu dalam bahasa Cina.

Gambar lain kemudian muncul memaparkan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong bersama pemimpin MCA lain serta sukarelawan memegang hos air sambil membersihkan lantai.

Bagaimanapun, penyokong MCA mengecam keterangan gambar itu yang menunjukkan dialog khayalan antara Wee dan rombongannya yang tertera:

Wee: Wartawan sudah ambil gambar (kita sedang membersihkan lantai)?

Rombongan: Sudah.

Wee: (Kalau macam itu) Mari pulang.

Gambar lain menyelar Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon atas kenyataannya berkenaan ketua menteri Pulau Pinang sebagai “tokong” tidak mampu melawan banjir.

Chong telah memohon maaf atas kenyataannya itu namun pemimpin MCA lain mengatakan Lim juga pernah cuba membesar-besarkan bencana seperti kehilangan kapal terbang MH370 dengan menyalahkan kerajaan BN.

Penyokong kedua-dua parti turut saling mengecam atas tuduhan Exco Pulau Pinang Chong Eng yang menuduh Ketua Pemuda MCA “mencuri” sukarelawan untuk kerja-kerja pembersihan.

MCA dan BN menyerang semula dengan koleksi gambar swafoto (selfie) anggota dewan undangan negeri (ADUN) RSN Rayer yang dipercayai diambil di beberapa lokasi terjejas banjir.

“Usaha bantu mangsa banjir – gaya ADUN DAP RSN Rayer,” menurut keterangan gambar itu.

– M’kini

.