Perang persepsi pernah beri kesan kepada Umno

SHAH ALAM – Pemimpin Umno diingatkan agar tidak memandang rendah perang persepsi yang semakin menular kerana Umno-BN pernah menanggung akibatnya pada dua pilihan raya umum yang lalu.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, meskipun persepsi negatif itu dimainkan pembangkang namun penularannya boleh menghakis pendirian dan sikap pengundi.

“Persepsi negatif terhadap Umno kononnya kita sudah tidak lagi relevan kepada orang Melayu menjelang PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) perlu diperbetulkan.

“Pemimpin Umno perlu lebih agresif memikul tanggungjawab memperbetulkan persepsi tersebut bagi memastikan tahap sokongan orang Melayu terhadap parti terus kekal,”katanya dalam catatan di blog Umno Cheras.

Malah katanya, ada dakwaan yang beredar mengatakan parti politik baru ditubuhkan untuk menggantikan Umno.

“Ini semua mainan persepsi yang boleh mengelirukan rakyat terutama orang Melayu yang selama ini setia kepada Umno.

“Hari ini, maklumat berada di hujung jari, apa sahaja berita termasuk fitnah dan serangan persepsi memburukkan dan mencerca Umno begitu mudah dilakukan. Malah begitu mudah pula dipercayai oleh masyarakat umum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegur semua pemimpin Umno agar lebih agresif menyerang balas segala serangan terutama dari pembangkang.

“Hampir kesemua daripada kita (pemimpin) mempunyai kemudahan seperti mana yang dimiliki pembangkang. Mengapa  kita tidak guna dan akses kemudahan tersebut untuk menyerang mereka?

“Walaupun pembangkang menggunakan bahan fitnah sebagai senjata tetapi Umno pula perlu memberikan penjelasan yang tepat dan telus kepada peringkat akar umbi. Kita tidak sewajarnya melakukan fitnah seperti yang mereka lakukan,” katanya.

Tambahnya, barisan pimpinan Umno juga tidak boleh leka dan memandang enteng kemampuan pembangkang.

– Sinar Harian

.