Penyokong ‘Baju Merah’ Didakwa Halang Jelajah Bersih 5

MANJUNG – Kira-kira 1,000 penyokong ‘baju merah’ berkumpul untuk membantah pelancaran jelajah perhimpunan Bersih 5 di sini, Sabtu.

Penyokong ‘baju merah’ dilihat tiba-tiba berkelakuan agresif terhadap kira-kira 200 penyokong ‘baju kuning’ kira-kira pukul 9.30 pagi di Jeti Lumut.

Tindakan itu menyebabkan penyokong ‘baju kuning’ bersurai dan mengadakan konvoi ke bandar Ayer Tawar dan Teluk Intan dengan membawa bersama bendera Bersih 5.

Penganjur perhimpunan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos berkata mereka berjaya menggagalkan rancangan Bersih 5 untuk berkumpul di Manjung dan Sitiawan dengan menegaskan mereka akan terus membantah perhimpunan tersebut.
“Apa yang mereka (baju kuning) buat pada hari ini tidak membawa kebaikan kepada semua.

“Setiap kali Bersih mahu mengadakan perhimpunan ini, kami akan melakukan apa sahaja untuk menghalang mereka daripada menghasut rakyat,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan tersebut.

Menjelang perhimpunan Bersih 5 yang dijadualkan pada 19 November ini, Jamal mengingatkan penyokong (baju kuning) bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak agresif demi mempertahankan demokrasi berperlembagaan.

Sementara itu, penyokong Bersih 5, Thomas Su yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata penyokong ‘baju merah’ bertindak di luar batas undang-undang.

Jelajah kami sebenarnya satu perhimpunan aman bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan mendapatkan sokongan  rakyat untuk menyertai perhimpunan pada 19 November ini.

“Namun apa yang kami lihat, penyokong baju merah sukar dikawal dan berkelakuan agresif. Mereka menunggang motosikal dan menendang kenderaan kami. Mereka juga mencabut bendera kami,” katanya.

– Mstar

.