PENYOKONG ANWAR BUAT KECOH DI KONVENSYEN PAKATAN

KUMPULAN yang menggelar diri mereka “Pro 98 Reformis” mencetuskan beberapa kekecohan ketika Konvensyen Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Kira-kira dua puluh orang memakai baju berwarna biru muda dan membawa potongan kadbod ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dan cuba memasuki dewan persidangan.

Bagaimanapun, mereka dihalang oleh pasukan keselamatan konvensyen yang tidak mahu mereka menimbulkan sebarang kontroversi.

Mereka kemudiannya berarak keluar dari pintu masuk dewan sambil bersorak “Reformasi!” dan “Bebas Anwar!”, menarik perhatian pengunjung di sekitar Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.

Beberapa di antara mereka dikenal pasti sebagai ahli PKR yang rapat dengan bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Dr Badrulamin Bahron.

Pakatan Harapan dijangka mengumumkan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri sekiranya PH menang Pilihan Raya Umum ke-14 petang nanti.

Pagi tadi, kumpulan ini turut menimbulkan kekecohan kecil apabila bertikam lidah dengan seorang wakil Amanah.

Mereka membawa sepanduk dengan gambar Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan kapsyen yang menamakan mereka masing-masing sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Tindakan mereka itu ditegur oleh seorang lelaki yang memakai baju parti Amanah, menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

Pertengkaran itu berlaku selama lima minit sebelum ia dileraikan oleh penyokong masing-masing.

Kumpulan itu kemudiannya melaungkan perkataan “Reformasi” dan “Hidup Anwar” sebelum beredar kira-kira jam 9.30 pagi.

Badrulamin turut kelihatan di tempat kejadian tetapi tidak berbuat apa-apa.

– https://www.themalaysianinsight.com

.