PENYOKONG ANNUAR BERHIMPUN DI KLIA, DAKWA KONSPIRASI

Penyokong Tan Sri Annuar Musa membanjiri lapangan terbang KLIA di Sepang bagi menyatakan sokongan kepada ketua penerangan Umno yang sedang berdepan dakwaan salah guna kuasa itu.

Berpakaian merah, mereka antaranya membawa pelbagai sepanduk dan kain rentang yang mendakwa Annuar menjadi mangsa fitnah dan konspirasi.

Mereka juga berharap pemimpin Umno Kelantan itu “jangan berundur walau setapak”.

Annuar berdepan siasatan salah guna kuasa berkaitan penajaan agensi bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk pasukan bola sepak Kelantan.

MARA dalam mesyuarat khas di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur menggantung tugasnya sebagai pengerusi agensi itu dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau juga disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menulis di Facebook sebelum ini, Annuar yang berada di New Zealand ketika itu berkata perkara pertama yang akan dilakukannya apabila sampai ke Malaysia adalah hadir ke SPRM untuk disiasat.
Ketibaan Annuar, yang lewat kira-kira sejam, disambut dengan laungan “Allahuakhbar!”.

Bercakap kepada pemberita selepas bertemu penyokongnya, Annuar bagaimanapun enggan menyalahkan mana-mana pihak susulan tuduhan terhadapnya itu.

“Ini adalah kepentingan rakyat. Isu ini sudah jadi berprofil tinggi. Rakyat nak tahu dan saya mengambil penuh tanggungjawab.

“Jangan marah siapa-siapa, jangan marah dengan menteri, jangan marah dengan ahli majlis (MARA). Mereka semua menjalankan tugas masing-masing, kita kena hormat,” katanya.

Beliau juga ditanya sama ada menteri bertanggungjawab terhadap MARA Datuk Seri Ismail Sabri patut meletakkan jawatan susulan kontroversi itu, beliau berkata tidak perlu.

“Datuk Seri Ismail Sabri ada tugas yang dia perlu lakukan. Ada kerja yang dia buat. Dia cuba buat sebaik mungkin.

“Jangan salahkan beliau,” katanya lagi.

– M’kini

.