PENYERTAAN BERSATU, LOGO BARU AKAN PERKUKUH LAGI PAKATAN HARAPAN

Tidak sampai seminggu selepas menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Harapan, hari ini Bersatu secara rasmi diterima menganggotai gabungan pembangkang itu yang matlamat utamanya ialah untuk menyingkirkan Najib Razak dan menumbangkan UMNO serta BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Penyertaan Bersatu diterima sebulat suara oleh semua parti dalam Pakatan Harapan.
Bersama kemasukan Bersatu itu, Pakatan Harapan juga mengumumkan persetujuan untuk merangka satu manifesto bersama serta penciptaan logo baru, selain mendaftarkan gabungan itu secara rasmi.
Kesediaan Pakatan Harapan menyetujui langkah itu memperlihatkan mereka bersetuju dan tidak ragu-ragu dengan pandangan Tun Mahathir Mahathir betapa perlunya pembangkang bersatu hati, mempunyai satu manifesto dan satu logo yang dipersetujui bersama, jika benar-benar ingin menumbangkan UMNO dan BN.
Selama ini, baik Pakatan Rakyat mahupun Pakatan Harapan, oleh kerana ia tidak didaftarkan, tiada logo rasmi yang digunapakai dan dipersetujui bersama.
Tun Mahathir juga turut mencadangkan pertukaran nama baru yang lebih mantap dan diterima ramai, tetapi sekiranya nama Pakatan Harapan dikekalkan pun, ia sebenarnya tidak ada masalah.
Yang paling penting ialah perlunya ada kesatuan dan kebersamaan dari segi gerak kerja, semangat dan keinginan menyelamatkan negara yang seterusnya harus disusuli dengan wajah keyakinan di mata rakyat iaitu satu manifesto dan satu logo.
Sebelum pilihanraya 2013 lalu,  sudah terdapat usaha untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat secara rasmi, tetapi ia seperti tidak mendapat kerjasama dengan pelbagai halangan cuba ditimbulkan untuk mendaftarkannya dengan Pendaftar Pertubuhan.
Ia kemudian menyaksikan semua parti yang bertanding menggunakan logo masing-masing. Meskipun demikian, blok pembangkang, di sebalik hanya dapat meraih kemenangan 89 kerusi Parlimen, tetapi mendapat sokongan 52 peratus undi popular rakyat.
Kali ini, dengan penyertaan Bersatu ke dalam Pakatan Harapan dan Tun Mahathir dilihat akan mengepalai gerakan pembangkang bersama Anwar Ibrahim yang memberi inspirasi dari dalam penjara, laluan ke arah matlamat menumbangkan Najib, UMNO dan BN atas hujah terlalu banyak kecurangan dan kedurjanaan berlaku dalam negara, hampir pasti lebih mudah diterima rakyat.
Mungkin tidak harus ditulis secara secara detail dan panjang lebar di sini, tetapi dengan langkah Pakatan Harapan mendaftarkan gabungan itu secara rasmi serta mempunyai satu manifesto dan satu logo, disertai dengan beberapa tips yang akan dikongsi oleh Tun Mahathir yang tidak pernah gagal dengan kemenangan dua pertiga sepanjang 22 tahun berkuasa, beberapa langkah ke arah kemenangan hanya menunggu masa saja untuk diumumkan.
Malah dikhabarkan, Tun Mahathir juga mempunyai beberapa pilihan sekiranya Pendaftar Pertubuhan agak keberatan meluluskan pendaftaran rasmi Pakatan Harapan, yang sekaligus membantutkan perancangan menggunakan satu logo ketika bertanding dalam pilihanraya.
Persetujuan menerima satu logo untuk calon-calon Pakatan Harapan tidak diragui akan memberi kesan yang ketara dari segi penerimaan pengundi secara keseluruhannya dan akan melindungi banyak perkara yang cuba diseleweng atau dimanipulasi oleh UMNO dan BN ketika kempen diadakan.

Mimpi indah bagi rakyat yang inginkan perubahan dan mimpi ngeri kepada golongan petualang, dengan ini semakin hari semakin dekat untuk menjadi kenyataan melalui Pakatan Harapan yang terus bertambah kuat dan kukuh.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.