‘PENUKARAN AGAMA ANAK MUALAF TERBATAL, PERLU PERSETUJUAN IBU DAN BAPA’

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa takrif “ibu bapa” harus bersifat majmuk dalam keputusannya berhubung kes penukaran agama satu pihak membabitkan M Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah.

Oleh itu, panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Mahkamah kali ini tidak lagi terikat dengan keputusan kes R Subashini lawan T Saravanan pada tahun 2007 yang menyaksikan isteri yang beragama Hindu itu diarahkan untuk mencari jalan penyelesaian di Mahkamah Rayuan Syariah untuk menghentikan suaminya yang beragama Islam daripada menukar agama anak mereka tanpa persetujuannya.

Kuorum berkenaan sebulat suara berpuas hati bahawa penukaran agama mereka perlu mendapat keizinan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak tersebut sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Zulkefli, berkata keputusan hari ini mengambil maklum keputusan mahkamah boleh mencetuskan perdebatan tetapi dibuat tanpa pengaruh agama.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali yang membaca keputusan 99 halaman itu memutuskan bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menyemak tindakan Pendaftar Mualaf, yang adalah antara responden jika ada tindakan yang tidak sah.

Mohd Ridhuan menukar agama tiga anak mereka, Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa, sepuluh tahun lalu tanpa kebenaran dan pengetahuan isterinya, seorang guru tadika.

Kanak-kanak berkenaan ketika itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan.

Indira Gandi kemudiannya merayu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Disember 2015 yang tidak memihak kepadanya.

Panel tiga hakim ketika itu diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi (kini hakim Mahkamah Persekutuan) dalam keputusan majoriti 2-1 berpuas hati bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan perkara-perkara berkaitan agama Islam.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Mohd Ridhuan serta empat yang lain untuk mengketepikan perintah Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh, Perak yang membatalkan sijil penukaran agama tiga anak lelaki itu.

Selain Pengarah JAIP dan Mohd Ridhuan, perayu-perayu lain terdiri daripada Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia.

– M’kini

.