PENSYARAH PELIK HANIPA KINI ‘JADI LIBERAL’

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini menyatakan ‘kehairanan’ beliau terhadap bekas ketua lajnah undang-undang PAS yang didakwanya kini berubah menjadi liberal.

Kata Dr Kamarul Zaman Yusoff persoalan itu dibangkitkan apabila Hanipa Maidin menyatakan pendiriannya terhadap golongan ateis.

Sambil merujuk kepada tindakan Hanipa sebelum ini yang istiqamah memperjuangkan kepentingan Islam, Kamarul Zaman berkata dia hairan dengan perubahan sikap anggota parlimen Sepang itu.

Ketika masih dalam PAS, katanya, Hanipa sering mengalaskan hujah dalam perkara-perkara yang melibatkan pertentangan dalam Islam dengan kebebasan beragama.

“Sejak bila dan apa punca sebenar Hanipa berubah menjadi liberal, khususnya dalam menangani isu murtad ini?

“Apakah sejak menang di Sepang pada PRU13 (setelah kalah dengan majoriti 3,820 undi di kerusi Tanjong Karang pada PRU 12)?” katanya seperti dipetik Harakahdaily hari ini.

Hanipa adalah salah seorang pemimpin kanan dalam PAS yang disingkirkan perwakilan bersama kumpulan progresif semasa muktamar parti itu pada 2015.

Berpengalaman sebagai peguam, Hanipa pernah dilantik mengetuai lajnah undang-undang PAS dan menjadi seorang daripada anggota jawatankuasa pusat parti tersebut.

Ekoran penyingkiran beramai-ramai lebih dua tahun lalu Hanipa menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tak ada masalah

Kamarul Zaman berkata Hanipa pernah menulis mengenai beberapa isu murtad sebelum ini, seperti membabitkan Lina Joy, Siti Fatimah Tan dan kes ateis Amerika Syarikat.

Katanya, di dalam tulisan bertajuk “Kes Muhamad Rayappan menimbulkan banyak tanda tanya” pada 21 Disember 2006 umpamanya Hanipa mempersoalkan tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tuntutan ke atas mayat lelaki terbabit.

Bagi kes Subashini Rajasingham, Hanipa (gambar) mempersoalkan tindakan peguam yang tidak membangkitkan soal Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 yang secara jelas mendiskriminasi individu beragama Islam yang melarang mereka ke mahkamah sivil bagi mendapatkan perintah penceraian.

Dalam kes Lina Joy pula Hanipa memuji tindakan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang menolak penghujahan peguam wanita terbabit serta pertubuhan yang menyokongnya untuk meminta mahkamah memutuskan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan mutlak kepada seseorang keluar daripada Islam.

“Berdasarkan kepada lima tulisan Hanipa ini, jelas beliau sangat istiqamah memperjuangkan kepentingan Islam, khususnya di dalam isu murtad, walaupun setelah PAS menyertai Pakatan Rakyat pada tahun 2008,” katanya.

Kamarul Zaman dipercayai mengulas pendirian Hanipa semalam yang mempertahankan golongan atiesme.

Dalam kenyataan terbukanya itu Hanipa menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan hak golongan ateis mengamalkan kepercayaan mereka.

“Saya seorang Muslim, dan saya tiada masalah untuk mempertahankan hak mana-mana ateis untuk menganuti atau untuk mengamalkan ateisme,” tegasnya seperti dipetik portal menara.my.

Hanipa juga menempelak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dianggapnya melakukan kesilapan kerana seolah-olah dikaburi ketaatan terhadap Islam dalam pendekatan mengenai isu ateisme.

Kamarul Zaman merupakan pensyarah yang sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi dengan mendakwa Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, mahu membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian.

Ia berdasarkan kandungan buku pemimpin wanita DAP itu yang bertajuk Becoming Hannah yang didakwanya seagai usaha untuk memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang lain supaya cenderung kepada Kristian.

– M’kini

.