PENJELASAN KEGAGALAN 1MDB BAYAR IPIC ADA MAKSUD TERSIRAT, KATA DAP

DAP hari ini mengecam penjelasan Putrajaya kerana kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membayar syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) berjumlah AS$600 juta (RM2.6 bilion).

Perdana Menteri Najib Razak semalam mengatakan pembayaran itu ditangguhkan atas masalah “teknikal”.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata tiada siapa, selepas mendengar penjelasannya, memahami kesukaran dialami dalam memproses transaksi urus niaga untuk membayar IPIC.

“Alasan kesukaran dan kerahsiaannya adalah mudah. Tiada bank di dunia hari ini yang sanggup memproses penjualan unit dana pelaburan milik 1MDB,” kata Pua.
“Ini kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menyatakan ‘unit’ ini adalah penipuan. Ia diwujudkan untuk menutup lebih AS$1 bilion yang disalahgunakan 1MDB kepada Good Star Limited sedangkan tujuan asalnya melabur dengan Petrosaudi International Limited,” kata Pua.

Dalam keputusan timbang tara tertutup di London, 1MDB bersetuju membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC secara dua tahap pada akhir tahun, ia menyatakan kewajiban ini akan dipenuhi “secara utamanya melalui pengewangan unit dana pelaburan milik 1MDB”.

“Mana-mana bank, di Malaysia atau antarabangsa, yang mengendalikan urus niaga melibatkan penjualan unit pelaburan penipuan 1MDB ini kepada sesiapa atau mana-mana pihak, akan didapati bersalah kerana membantu pengubahan wang haram,” kata Pua dalam satu kenyataan media hari ini.

Pua berkata lesen Bank BSI dibatalkan oleh pihak berkuasa Singapura kerana ia “bank penjaga” bagi unit pelaburan 1MDB.

Pentadbir kewangan Switzerland, Finma, juga menggesa bank swasta Switzerland berusia 132 tahun itu membubarkan cawangan Singapura, katanya.

“Tiada bank yang berwibawa sanggup menerima nasib yang sama seperti Bank BSI atau bank lain yang dikenakan denda dan hukuman kesan keterlibatan dengan 1MDB,” kata Pua.

Beliau berkata, satu-satunya cara bagi 1MDB membayar balik IPIC adalah melalui dana kerajaan.

“Bagaimanapun, jika itu terjadi, ia akan menjadi pengakuan secara langsung oleh kerajaaan yang 1MDB satu penipuan dan berbilion ringgit hilang dan dicuri daripada syarikat.

“Kami menyeru Najib Razak menjelaskan sendiri dan memberitahu kebenaran sepenuhnya kepada berjuta-juta rakyat Malaysia yang sangat bimbang dengan skandal 1MDB bernilai RM50 bilion.

“Sekiranya tiada ‘apa-apa untuk disembunyikan’ dan apa yang kami nyatakan di atas tidak berasas seperti dikatakan para pemimpin BN, maka datang ke Parlimen, jawab soalan dan berbahas secara terbuka.”

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.