PENIAGA MERUNGUT, ORANG TIADA DUIT BELI BARANG, KATA MUHYIDDIN

BEBANAN hidup rakyat semakin parah ditambah dengan situasi yang dihadapi oleh negara ini, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Katanya, ini dapat disaksikan sendiri ketika beliau turun padang berjumpa dengan rakyat.

Berucap di siri Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat di hadapan ribuan hadirin di Kepala Batas semalam, beliau mengingatkan negara ini perlu diselamatkan sebelum kritikal terjerumus ke dalam satu gaung yang cukup dalam.

Muhyiddin berkata ketika itu nanti negara akan amat sukar untuk bangkit dan pulih semula.
“Saya pergi ke banyak tempat, pasar malam bertemu rakyat biasa, petani, pekedai. Saya tanya mereka bagaimana (peniagaan). (Mereka kata) susah. Barang mahal, barang tak laku, nilai ringgit jatuh menjunam.

“Kalau kita pergi ke luar negara, ke Thailand mereka dulu tanya ‘ada ringgit Malaysia tak? (Sebab) mereka lagi suka ringgit daripada Baht Thai sendiri. Hari ini mereka tak pandang ringgit.

“Dia (peniaga dari Thailand) takut kalau dia pegang seringgit, esok dah tinggal 90 sen nilainya. Kalau lama pegang, takut turun, jatuh lagi. Kalau banding dengan mata wang asing, yang turun 3% hingga 5%, tapi ringgit Malaysia jatuh hampir 40% ke bawah,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan kritikan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung pengumuman ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi tahun ini, mengatasi sasaran antara 4.3% dan 4.8% berikutan prestasi kukuh separuh pertama.

Katanya, dengan bebanan hidup, hak rakyat sudah hampir hilang berbanding pertumbuhan ekonomi negara yang kononnya dilihat seperti terdapat pertumbuhan, tetapi sebenarnya tidak memberikan kesan kerana bebanan ditanggung oleh rakyat lebih besar.

Muhyiddin turut melawat peniaga di Pekan Rabu, Kedah untuk bertanyakan keadaan perniagaan mereka.

Beliau berkata kebanyakan peniaga merungut dengan barangan yang tidak laku kerana jumlah pelanggan tidak lagi seperti sebelum ini sambil bertanya bila pilihan raya akan diadakan.

“Orang tak dapat nak beli sebab tak ada duit. Pastinya memperlihatkan pimpinan BN hari menunjukkan rakyat tiada keupayaan untuk berbelanja kerana wang yang ada tak sebanyak mana,” katanya.

Antara pemimpin PH yang turut hadir Pengerusi Bersatu Pulau Pinang Marzuki Yahaya, pengerusi Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden Mukhriz Mahathir, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan pemimpin DAP Lim Kit Siang.

– https://www.themalaysianinsight.com

.