PENGUNDI SUNGAI BESAR SUKAR TERIMA SHAHRIZAT, LEBIH GEMAR BUDIMAN

PENGUNDI di kawasan Sungai Besar mengakui sukar untuk menerima Shahrizat Abdul Jalil sebagai ahli Parlimen mereka yang baru, lebih-lebih lagi dengan isu yang dihadapi ketua Wanita Umno itu sebelum ini.

Mereka turut memandang sinis tindakan Shahrizat yang hanya memunculkan diri di kawasan itu menjelang pilihan raya umum (PRU).

Salah seorang daripadanya, Azizi Said, 25, yang berpendapat, langkah itu tidak patut kerana Shahrizat tidak pernah menghulur sebarang bantuan di kawasan tersebut.

“Sudah dekat PRU baru muncul, tunjuk muka, tak membantu apa pun… tak kena cara dia itu,” kata pekerja swasta itu ketika ditemui The Malaysian Insight.

Jelasnya, penduduk di kawasan kampung di sini sukar menerima pemimpin luar yang dianggap tidak memahami masalah penduduk tempatan.

“Sini masih kawasan kampung, mereka susah nak terima orang luar, kadang-kala orang tempatan pun sukar mahu menyelesaikan masalah di sini, apatah lagi orang luar ” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ini berbeza dengan penyandang kerusi tersebut, Budiman Zohdi yang sering dilihat di majlis-majlis keraian sekitar Sungai Besar, kata Azizi.

“Budiman banyak campur orang kampung, selalunya dia akan datang kenduri,” kata penduduk Taman Setia itu lagi.

Penduduk keturunan Cina di Sungai Besar juga berpendapat komuniti itu lebih sukakan Budiman berbanding Shahrizat.

Ini kerana, Shahrizat dilihat terbeban dengan banyak isu seperti skandal projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang diusahakan oleh keluarga bekas menteri tersebut.

Penduduk tempatan, Boon Keong berpendapat, itu menyebabkan komuniti Cina di Sungai Besar lebih memihak kepada Budiman.

“Budiman okay, Shahrizat dulu ada banyak isu…isu lembu dulu,” katanya ringkas, merujuk kepada isu NFC.

Pekerja kontraktor pembinaan, Mohd Shahrizal Mohd Sanid, 36, pula berkata, Budiman juga diketahui sering menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasannya, terutamanya membabitkan pembaikan rumah dan pusat ibadat.

“Saya kadang-kadang bekerja dengan kontraktor yang dapat projek baiki rumah penduduk daripada Budiman,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Namun baginya, tiada beza sama ada Shahrizat atau Budiman bertanding di Sungai Besar memandangkan kedua-duanya adalah calon Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak kisah, janji orangnya okay, apa-apa pun sama-sama biru,” katanya, merujuk warna BN.

Penduduk Sungai Besar lebih senang dengan Budiman Zohdi yang disifatkan sangat memahami masalah mereka di samping sikapnya yang mudah bergaul dengan masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2018.
Penduduk Sungai Besar lebih senang dengan Budiman Zohdi yang disifatkan sangat memahami masalah mereka di samping sikapnya yang mudah bergaul dengan masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2018.

Bagaimanapun sekiranya diberi dua pilihan, antara Budiman atau Shahrizat, Shahrizal berkata beliau tidak teragak-agak memilih Budiman dan menolak Shahrizat.

Kebanyakan pengundi yang ditemui di sekitar Sungai Besar juga mengakui pernah bertemu dengan Budiman, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, salah satu kawasan dalam Parlimen Sungai Besar.

Mereka turut mengakui Budiman gemar “menerjah” majlis perkahwinan tanpa pengetahuan mereka dan beramah mesra dengan penduduk setempat tanpa sebarang protokol walaupun beliau merupakan wakil rakyat mereka.

“Pemimpin macam itu yang kita perlukan, tidak hipokrit, gaya beliau bila turun kawasan macam orang kampung, tidak bermegah, lebih kurang sama sahaja macam kita,” kata Shamil Hakimi Nordin.

Pemuda berusia 25 tahun dari Taman Seri, Sungai Besar itu turut berkongsi pengalamannya apabila dia sendiri terkejut ketika majlis perkahwinan kakaknya, Budiman tiba-tiba hadir dan turut memeriahkan majlis tersebut.

“Saya tidak tahu beliau akan datang, tiba-tiba sahaja YB muncul dan datang kenduri kahwin kakak saya,” katanya, yang turut berkongsi gambar swafoto bersama Budiman ketika majlis berkenaan.

Ketika ditanya ura-ura Shahrizat akan bertanding menggantikan Budiman di Sungai Besar, Shahmil Hakimi hanya tersenyum dan berkata: “Susah orang kampung nak terima.”

Ura-ura mengatakan Shahrizat akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar mula muncul sejak seminggu lalu.

Andaian itu semakin kuat apabila beliau hadir ke Sungai Besar semala untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang pemimpin Umno Bahagian Sungai Besar sebelum membuat lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunus juga memberikan lampu hijau dengan cadangan untuk Shahrizat bertanding di kerusi tersebut.

Pemimpin Gerakan Baju Merah itu berkata, cakap-cakap kedai kopi juga semakin rancak mengatakan Shahrizat akan bertanding di Sungai Besar.

Katanya, beliau secara peribadi akan membentangkan permaidani merah untuk menyambut Shahrizat bertanding di situ namun mengakui pencalonan itu belum dibincangkan dalam Umno.

Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar semalam mengakui tidak mengetahui calon bagi kerusi itu dan menyerahkan kepada pimpinan tertinggi untuk memutuskannya walaupun ada yang mengatakan ia kuota tradisi untuk wanita.

“Seingat saya, mana ada kuota. Kita tidak mengekalkan kuota,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.