PENGUNDI MUDA TAK TERTARIK KEPADA BN DAN PAKATAN

WALAUPUN wujud pesimis mengenai undi anak muda, masih ada anak muda Malaysia yang percaya undi adalah cara terbaik untuk mengubah negara ini, biarpun mereka masih tidak memutuskan siapakah yang berhak menerima undi mereka.

Itulah pandangan anak muda yang ditemui baru-baru ini pada rapat umum meraikan ulang tahun ke-71 Angkatan Pemuda Insaf (API), sebuah pergerakan politik sebelum kemerdekaan.

Walaupun mereka begitu bersemangat, sebahagiannya masih belum memutuskan untuk mengundi siapa- sama ada parti pemerintah Barisan Nasional yang sudah mentadbir negara sejak merdeka, atau gabungan baru Pakatan Harapan yang meraih 53% undi popular pada 2013 dan kini mentadbir kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Pelajar universiti awam, Nazeeha Ziarat Khan berkata beliau tidak tertarik kepada mana-mana pihak tetapi hasrat untuk melihat perubahan berlaku terlalu kuat menyebabkan beliau akan turun mengundi.

“Saya betul-betul percaya yang kedua-dua pihak tidak benar-benar melakukan sesuatu untuk rakyat tetapi negara perlu berubah dan jika perubahan itu boleh dibuat melalui undi kami, maka kita perlu buat apa yang kita perlu buat,” katanya kepada The Malaysian Insight pada rapat umum itu, pilihan raya umum kali ini adalah yang pertama untuknya keluar mengundi.

API adalah pergerakan politik menentang penjajah zaman sebelum Merdeka, rapat umum yang dianjurkan mengumpulkan ramai anak muda. Dan seperti anak muda lain, walaupun kesedaran politik mereka tinggi mereka masih belum buat keputusan siapa yang berhak terima undi mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Disember, 2017.
API adalah pergerakan politik menentang penjajah zaman sebelum Merdeka, rapat umum yang dianjurkan mengumpulkan ramai anak muda. Dan seperti anak muda lain, walaupun kesedaran politik mereka tinggi mereka masih belum buat keputusan siapa yang berhak terima undi mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Disember, 2017.

Gadis berusia 23 tahun dari Damansara itu berkata beliau akan tunggu dan menilai kualiti calon pembangkang selain manifesto PH.

“Awak tak boleh terlalu bergantung kepada manifesto kerana perubahan tak boleh berlaku hanya melalui manifesto.

“Ia soal tindakan bersama yang perlu datang daripada pemimpin juga, jadi kita perlu (nilai) pemimpin itu,” katanya.

Sentimen disuarakan Nazeeha selaras dengan hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati dua pertiga pengundi berusia antara 21 hingga 30 tahun masih belum memutuskan siapakah yang akan mereka undi pada PRU14 nanti.

Satu lagi kajian dijalankan Merdeka Center for Opinion Research yang dikeluarkan pada September lalu juga mendapati 70% anak muda tidak peduli soal politik malah jumlah yang sama juga merasakan mereka tidak boleh mempengaruhi proses pembuatan dasar kerajaan.

Rakyat Malaysia di bawah usia 30 tahun membentuk dua pertiga daripada jumlah keseluruhan 3.7 juta pengundi yang masih belum mendaftar sebagai pemilih walaupun layak mengundi. Watan, NGO yang melakukan proses pendaftaran pengundi dan berpengalaman luas sebagai pemerhati pilihan raya juga meluahkan kebimbangan tentang hilangnya semangat anak muda kini untuk terlibat dalam proses pengundian.

Seorang lagi pengundi muda yang masih belum membuat keputusan, yang hanya mahu dikenali sebagai Choo, berkata beliau faham yang mengundi adalah tanggungjawabnya selaku warganegara.

“Ia adalah tanggungjawab saya kepada negara dan masyarakat. Saya sudah mendaftar sebagai pengundi tetapi saya masih tak pasti parti mana akan terima undi saya. Kena lihat manifesto mereka dahulu,” katanya yang berusia 23 tahun dan berasal dari Ampang.

Ishak Saufi, 26, dari Cheras pula mengatakan beliau tidak sabar untuk turun mengundi buat kali kedua kerana tidak mahu memberikan sebarang “kelebihan” kepada BN.

“Itulah yang kerajaan mahukan, supaya anak muda tak mengundi dan mereka yang sokong kerajaan datang dan mengundi.

“(Rasanya seperti) bukan semua undi itu penting apabila kita ada masalah seperti gerimander, tetapi ia soal anda (dan perubahan individu),” katanya.

Anak muda mahukan perubahan tetapi antara pilihan parti politik yang ada satupun tidak mewakili suara mereka, membuatkan mereka antara kumpulan pengundi atas pagar terbesar di Malaysia.  – Gambar EPA, 29 Disember, 2017.
Anak muda mahukan perubahan tetapi antara pilihan parti politik yang ada satupun tidak mewakili suara mereka, membuatkan mereka antara kumpulan pengundi atas pagar terbesar di Malaysia. – Gambar EPA, 29 Disember, 2017.

Seorang lagi pelajar universiti awam, Aina dari Gombak berkata beliau faham mengapa anak muda memilih untuk tidak mengundi kerana kurangnya perwakilan seusia mereka dalam BN dan PH.

“Tetapi jika kita tak mengundi, parti pemerintah akan terus kekal untuk satu lagi penggal. Bila kita pilih untuk mengundi kita boleh memutuskan kepimpinan negara tetapi kita tak boleh buat apa-apa jika kita pilih untuk tak mengundi,” katanya.

Tetapi, dua orang pengundi lagi memberitahu The Malaysian Insight yang mereka merasakan tiada keperluan mengundi untuk perubahan.

Mohammad Alshatrim seorang pengundi berdaftar dan terlibat dalam pelbagai program politik sejak beberapa tahun lepas, tetapi untuk PRU14, lelaki berusia 25 tahun itu memutuskan untuk tidak turun mengundi.

“Tidak mengundi tidak bermakna saya tak terlibat dalam politik.

“Saya masih terlibat seperti sertai rapat umum API. Pengundian bukanlah satu-satunya cara untuk tunjukkan awak terlibat dalam politik kerana banyak lagi cara lain,” katanya.

Hafiz Hassim, 23, dari Kedah pula mengatakan alasanya beliau tidak mahu turun mengundi adalah kerana kedua-dua pihak tidak mewakili kepentingan anak muda.

“Mereka (BN dan PH) tidak mewakili aspirasi saya jadi mengapa saya perlu undi mereka.

“Saya tahu ada orang kata setiap undi penting tetapi sesiapa yang perintah negara tidak mewakili suara kami,” katanya.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman mengatakan terdapat 1.97 juta pengundi baru berdaftar antara 2013 dan Jun tahun ini.

– https://www.themalaysianinsight.com

.