Pengundi di Parlimen Pontian bantah persempadan semula

PONTIAN – Pengundi di dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Parlimen Pontian membantah persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dua PDM terbabit ialah Tanjung Ayer Hitam dan Parit Kudus.

Ketua PDM Tanjung Ayer Hitam, Samain Sarian berkata bantahan dibuat atas dasar pengundi yang tidak mahu kerap kali berpindah ke kawasan Dun dan Parlimen baharu setiap kali berlakunya persempadanan semula oleh SPR.

“PDM Tanjung Ayer Hitam buat masa sekarang diletakkan dalam Dun Pulai Sebatang dan Parlimen Pontian. Tetapi selepas persempadanan semula baru-baru ini, pengundi di Tanjung Ayer Hitam akan berpindah Dun Pekan Nanas dan Parlimen Tanjung Piai.

“Kami di PDM Tanjung Ayer Hitam tidak mahu sering berpindah-pindah. Ini kerana PDM Tanjung Ayer Hitam pernah diletakkan dibawah Parlimen Tanjung Piai,” katanya ketika ditemui selepas bantahan aman dilakukan di perkarangan Pejabat Umno Bahagian Pontian di sini, petang tadi.

Jelas Samain, dokumen bantahan telah diserahkan kepada pihak SPR kelmarin.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Pontian, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata bantahan tersebut dibuat sendiri oleh pengundi, tiada paksaan dan tiada tindakan menghasut bagi mendapatkan pendapat pengundi di kedua-dua PDM tersebut.

Jelasnya, kedua PDM terbabit melakukan setiap proses yang ditetapkan SPR bagi mengemukakan bantahan terhadap cadangan persempadana semula.

“Saya berharap SPR akan mempertimbangkan bantahan yang dikemukan ini,” katanya ‎yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri.

Tambahnya lagi, cadangan persempadanan semula yang dilakukan di dua PDM terbabit akan menyebabkan pengundi Melayu di Dun Pulai Sebatang akan berkurangan.

“Bagaimanapun, selepas kemasukan PDM Parit Kahar dan Parit  Keroma ia akan menambah sedikit lagi pengundi melayu di Dun Pulai Sebatang.

“Namun secara keseluruhan tetap akan berlaku sedikit  pengurangan pengundi Melayu di Dun Pulai Sebatang,” katanya.

Beliau yang juga Adun Benut turut menambah, persempadanan semuala yang dilakukan adalah proses biasa yang dilalui di kawasan Dun dan Parlimen bagi mengimbangkan taburan penduduk mengikut kaum, jantina dan umur.

“Persempadanan semula dalam tempoh 10 tahun, dilakukan bagi memastikan setiap kawasan pilihan raya seimbang dari segi profail pengundi,” katanya.

PDM Tanjung Ayer Hitam mempunyai kira-kira 944 pengundi manakala PDM Parit Kudus seramai 1,400 pengundi.

– Sinar Harian

.