PENGUNDI CINA MASIH ADA YANG UNDI BN, KATA ZAMBRY

MENTERI Besar Perak, Zambry Abdul Kadir masih belum berputus asa dengan pengundi Cina sebaliknya yakin kaum itu masih menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umumm ke-14 (PRU14) kelak, lapor Mingguan Malaysia.

Mengakui mengenai perubahan sikap pengundi Cina, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pangkor itu berkata jangan mudah termakan kata-kata penganalisis yang kononnya kaum itu tidak lagi menyokong BN.

“Jangan write off pengundi Cina. Jangan mudah termakan dengan kajian atau analisis pengundi Cina langsung tidak berubah. Kita sebagai ahli politik jangan mudah kecewa untuk terus berusaha memenangi hati mereka,” katanya.

Zambry dalam satu wawancara bersama akhbar milik Umno itu berkata hubungan pengundi Cina di Perak dengannya amat positif.

“Kita tidak boleh kata mereka langsung tidak sokong BN. Sebab berdasarkan keputusan analisis keputusan PRU-13 lalu, sokongan mereka pada BN masih ada.

“Walaupun kita tahu peratusan yang kita perlukan itu tidak mencapai matlamatnya, kita kena akui hakikat itu,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengakui Perak bukanlah zon selamat namun akan terus bekerja demi memastikan kemenangan negeri itu.

“Saya sering berada dalam kata orang tua-tua, hidup kena beringat-ingat, air yang tenang jangan disangka tiada buaya atau mendengar guruh di langit, air dalam tempayan dicurahkan.

“Semua peringatan ini menjadikan kita sentiasa bekerja. Saya tidak mahu kata kita sudah selesa atau sudah menang,” katanya.

Institut Darul Ehsan (IDE) dalam satu kajian ogos lalu mendapati 68% responden berbangsa Cina berpihak kepada Pakatan Harapan (PH), sementara hanya 21% menyokong Barisan Nasional (BN).

Dalam satu lagi kaji selidik dijalankan oleh Merdeka Center untuk penyelidikan pandangan pada September lalu mendapati, lebih dua pertiga responden Cina atau 68%, percaya negara ini secara amnya menghala ke hala tuju yang salah, berbanding 51% dalam kaji selidik serupa pada April 2013.

Hanya 11% daripada 1,000 responden Cina yang dikaji selidik percaya negara ini menuju hala tuju yang tepat, menurun daripada 21% pada April 2013.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.