‘PENGGUGURAN SITI HASMAH BERI KEMENANGAN BESAR BUAT NAJIB’

Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir tindakan Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia yang menggugurkan isternya, Tun Dr Siti Hasmah Ali sebagai penaung.

Seperti dijangkakan, sasarannya adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya.

“Saya percaya pengguguran dia akan memberi kemenangan yang besar bagi Najib dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Kalau jadi penaung mana-mana pertubuhan pun, dia begitu berkesan untuk memperanguhi keputusan rakyat tentang pilihan raya yang akan datang ini,” kata bekas perdana menteri itu.

Bukan itu sahaja, Mahathir juga berkata kini, kawan-kawan mereka juga mula menjauhi pasangan itu.

“Kami berkongsi. Apa terjadi kepada saya dapat diterima oleh isteri saya. Apa yang terjadi kepada isteri saya, diterima oleh saya juga. Tapi tak rasa tergentar ataupun takut kerana ugutan yang seperti ini.

“Hari ini kawan-kawan terpaksa lari daripada kami kerana sesiapa yang mendekati kami akan dikenakan tindakan daripada kerajaan.

“Ini adalah aspek baru pemerintahan dalam kerajaan negara ini. Tak boleh berkawan dengan saya,” kata beliau dalam hantaran klip video di Facebook beliau hari ini.

Jumaat lalu, polis mengambil keterangan Siti Hasmah berkenaan perhimpunan ‘politik toksik’ di Kuala Lumpur pada September tahun lalu.

Susulan itu, para pengkritik dan pasukan peguamnya mendakwa ia merupakan taktik gangguan.

‘Undang-undang disalahgunakan’

Semalam Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengeluarkan kenyataan terhadap pihak yang “cuba menangguk di air keruh” dan berkata pihak polis hanya mengambil keterangan daripada Siti Hasmah.

“Ambil statement, interrogation, soal jawab, sama saja la. Bila polis datang kita tau la hati berdebar-debar.

“Saya tidak tau tujuan adalah untuk menakutkan isteri saya, menakutkan saya juga, kalau didapati bersalah akan mendatang hukum yang berat kepada kami.

“Inilah keadaan sekarang di negara kita. Undang-undang ditepikan dan disalahgunakan,” kata beliau lagi.

– M’kini

.