‘PENGGAL’ KEPALA TRUMP, PELAKON MINTA MAAF

NEW YORK: Stesen rangkaian televisyen CNN memecat pelakon komedi wanita, Kathy Griffin daripada menjadi pengacara program Tahun Baharu susulan aksinya ‘memenggal’ kepala Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Griffin mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong Trump apabila gambarnya memegang kepala patung mirip Trump yang berlumuran darah tersebar meluas di laman sosial pada Selasa lalu.

“CNN membatalkan perjanjian dengan Kathy Griffin dalam program sambutan Tahun Baharu,” jelas jabatan perhubungan awam syarikat itu menerusi laman Twitter.

Tindakan Griffin itu juga mengundang kecaman daripada Wanita Pertama AS, Melania Trump yang menyifatkan gambar pelakon itu sebagai keterlaluan.
“Sebagai ibu, isteri dan manusia, gambar tersebut sangat menjelikkan,” katanya.

Malah anak lelaki Melania dan Trupm, Barron turut menyangka bapanya dipenggal susulan penyebaran gambar tersebut.

Bagaimanapun, Griffin tampil dengan permohonan maaf atas perbuatannya itu yang disifatkan sebagai melampau.

“Saya meminta maaf. Saya bersalah,” kata Griffin menerusi Twitter.

Sementara itu, Perkhidmatan Rahsia AS yang ditugaskan menjaga keselamatan Presiden, mengingatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang dianggap boleh mengancam nyawa Presiden.

– Mail Online

.