PENGERUSI SPR TAK TERSINGGUNG DENGAN ‘SERANGAN’ RASHID

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, beliau tidak tersinggung dengan kenyataan dengan bekas pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang membidasnya.

“Secara peribadi, saya tidak tersinggung. Apabila seorang ahli politik berkata sesuatu , ia adalah dari perspektif politik.

“Beliau tidak menyerang saya secara peribadi, jika saya bukan pengerusi SPR, beliau tidak akan mengatakan semua ini.

“Saya hormati Rashid dan bekas pengerusi SPR lain… kerana mereka adalah bekas bos saya,” kata Mohd Hashim (foto, kanan) pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama pada Rabu lalu, Abdul Rashid – yang kini adalah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) – memberi amaran kepada Mohd Hashim supaya tidak menjadikan SPR sebagai kuda tunggangan kepada BN.

Mohd Hashim juga dibidas kerana didakwa tidak mempedulikan usaha Pakatan Harapan untuk menghubunginya.

“Jelas sekali, beliau menjadi pengerusi pilihan raya paling tidak profesional dalam sejarah SPR dan secara tidak langsung mempersendakan kedudukan SPR sebagai sebuah suruhanjaya bebas dan adil kepada agensi yang semata-mata yang patuh kepada arahan perdana menteri,” kata Abdul Rashid dalam kenyataan bersama dengan Ahli Biro Politik PKR R Sivarasa, Ketua Penerangan Parti Amanah Negara Khalid Abdul Samad dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

Mohd Hashim berkata, beliau tidak bercadang untuk berjumpa Abdul Rashid (foto, kiri) berhubung kenyataan itu.

Sementara itu, mengulas dakwaan PAS Kelantan bahawa, terdapat pemindahan pengundi secara besar-besaran dilakukan di negeri itu, Mohd Hashim menggesa mereka yang tidak berpuas hati dengandaftar pemilih supaya memfailkan bantahan.

“Jika parti politik mendapati bahawa terdapat (pengundi) yang akan dipindahkan, kemudian memfailkan bantahan.

“Kalau parti politik tahu ada pindahan dan sebagainya, buat bantahan.

“Kita (SPR) tak boleh nak tolak berdasarkan andaian kita,” katanya.
Beliau berkata, jika bantahan adalah sah, maka SPR akan membenarkannya tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata peningkatan dalam pendaftaran pengundi dan pertukaran alamat adalah perkara biasa.

– M’kini

.