PENGERUSI RCI ENGGAN TARIK BALIK KENYATAAN BERKAITAN KERUGIAN FOREX

KETUA panel siasatan yang menyiasat kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini enggan menarik semula kenyataan yang dibuat pada awal sesi pendengaran, yang dianggap menjejaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Mohd Sidek Hassan berkata beliau tidak akan menarik semula kenyataannya yang dibuat pada hari pertama pendengaran pada 21 Ogos. Kenyataan itu berbunyi, kesimpulan dapat diambil bahawa BNM telah rugi sebanyak RM31.5 bilion.

Peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla meminta Sidek menarik semula kenyataannya kerana prosiding siasatan itu masih belum selesai.

“RCI akan membuat kesimpulan muktamadnya. Semasa siasatan, beberapa angka telah muncul. Sama ada ianya berbeza daripada kesimpulan awal, isu ia dikeluarkan tidak timbul.

“Kami akan membuat kesimpulan muktamad apabila menyerahkan laporan (kepada Agong),” kata Sidek hari ini.

Beliau turut mengumumkan hari ini adalah hari terakhir prosiding siasatan. Sepanjang prosiding, panel telah mendengar keterangan daripada 25 saksi dan mengkaji 42 dokumen.

Sidek juga mengumumkan yang panel telah memutuskan untuk menolak permintaan peguam Dr Mahathir.

Selain enggan untuk menarik balik keyataan beliau tentang kerugian itu, Sidek berkata panel juga memutuskan untuk tidak memanggil semula bekas penolong gabenor, Abdul Murad Khalid memberi keterangan.

“RCI dapati yang ia telah melakukan segala yang berkaitan dengannya (Murad). RCI tidak bercadang untuk memanggil Murad,” kata Sidek.

RCI juga tidak akan membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Puad Zarkashi kerana kenyataannya terhadap Dr Mahathir.

Puad menuduh bekas penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop berbohong kepada panel kerana melindungi Dr Mahathir.

RCI ditubuhkan untuk menentukan tahap kerugian BNM akibat urusniaga forex pada lewat 1980-an hingga 1994. Ia juga menyiasat sama ada berlakunya perlanggaran undang-undang.

Pemimpin pembangkang dan Dr Mahathir berkata RCI ditubuhkan bermotifkan politik dan bertujuan untuk mencemarkan nama pengerusi Pakatan Harapan.

Dr Mahathir telah memberi keterangan yang beliau tahu kerugian berdasarkan kepada angka dalam laporan yang diaudit yang diberi kepada Kabinet dan dibentangkan di Parlimen. Kerugian juga kata Dr Mahathir, bukanlah sebanyak RM30 bilion.

RCI ditubuhkan selepas bekas penolong gabenor, Murad memberitahu akhbar New Straits Times dalam satu temubual. Murad berkata kerugian pada awal 1990-an adalah lebih besar daripada yang dilaporkan BNM (RM9.3 bilion) dalam laporan tahunannya. Kerajaan kemudian membentuk Pasukan Petugas Khas untuk menentukan jika RCI diperlukan.

Sidek yang mengetuai pasukan itu kemudian dilantik sebagai pengerusi RCI hingga mencetuskan dakwaan berat sebelah dan prejudis daripada pembangkang dan peguam-peguam Dr Mahathir.

– https://www.themalaysianinsight.com

.