PENGAWAL PERIBADI DIDAKWA ACU PISTOL KEPADA PENGARAH SYARIKAT

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengacukan pistol ke arah seorang pengarah kewangan sebuah syarikat, empat hari lepas.

Freddy Lim Fon Lee, 43, didakwa mengacukan pistol ke arah Chong Tai Ron, 48, dan gagal mematuhi syarat lesen senjata atau permit senjata yang dipegangnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kelab malam, di Plaza Damansara, Bukit Damansara, di sini pada 10.20 malam, 25 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 (b) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga didenda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar tidak menawarkan sebarang wang jaminan namun tertuduh yang diwakili peguam N. Narai memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya yang sudah bercerai dengan isteri perlu menanggung seorang anak.

Majistret Husna Dzulkifly membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang menganggu saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 23 November untuk sebutan semula kes.

MSTAR

.