PENGASAS JJ POOR TO RICH DIDAKWA KERANA MELAKUKAN PENIPUAN

PENGASAS JJ Poor to Rich (JJPTR) Johnson Lee Chong Sen didakwa atas tuduhan melakukan penipuan di Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Lee, 28 tahun didakwa di bawah Seksyen 420 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun penjara dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan penipuan terhadap mangsa yang berusia 45 tahun untuk melabur dalam permainan wang pada 30 Mac tahun ini.

Lee didakwa melakukan kesalahan itu di bank CIMB di Jinjang Selatan, Kuala Lumpur.

Turut didakwa bersama Lee hari ini ialah Pang Chee Peng dan Lim Seong Wei.

Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Majistret Siti Radziah Kamaruddin menetapkan 2 November depan untuk sebutan kes.

Ketiga-tiga tertuduh dibenarkan ikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Mereka diwakili peguam G. Jaya Prem dan Nick Tan Meow Khoon.

Pada Mei lalu, polis menahan Lee dan dua yang lain di Petaling Jaya kerana didakwa menipu selepas beberapa laporan polis dibuat terhadap syarikat itu.

Penahanan itu dibuat selepas beberapa pihak berkuasa menyerbu lapan premis JJPTR di Pulau Pinang dan menahan 15 pekerja dan empat orang pelabur untuk disoal siasat dan dokumentasi.

Pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, pasukan penyiasat Akta Penggubahan Wang Haram, Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Nasional dan Suruhanjaya Syarikat turut merampas dokumen, komputer dan peralatan lain serta wang tunai dalam serbuan itu.

Pengarah CCID Acryl Sani Abdullah Sani berkata pada Mei polis membekukan beberapa akaun milik syarikat terbabit yang berpangkalan di Pulau Pinang di bawah  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001

Syarikat terbabit, menawarkan perkhidmatan tanpa kebenaran Bank Negara, mendakwa akaun perniagaan mereka digodam, meyebabkan kerugian lebih daripada AS$400 juta (RM1.7 bilion).

Lee memberitahu kepada lebih 31,000 pelabur wang mereka akan dipulangkan semula dan JJPTR memperkenalkan pelaburan baharu untuk menggantikan skim pelaburan forex.

Skim pelaburan forex mula diperkenalkan pada Mei 2015. Ia menawarkan pelabur 20% keuntungan dengan pelaburan serendah AS$25 hingga kepada maksimum AS$1,000.

– https://www.themalaysianinsight.com

.