PENGANUT KRISTIAN DI SABAH, SARAWAK TOLAK CADANGAN MAIS TERJEMAH BIBLE

PARA pemimpin Kristian di Sabah dan Sarawak menolak cadangan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghasilkan terjemahan rasmi Bible bahasa Melayu bagi membetulkan penggunaan kalimah “Allah” dalam teksnya.

Peguam Mais, Mohamed Haniff Khatri Abdulla membuat cadangan itu pada pendengaran saman yang dibawa oleh Jill Ireland Lawrence terhadap menteri dalam negeri dan kerajaan bagi menegakkan hak perlembagaannya untuk menggunakan perkataan “Allah” dalam penerbitan Kristian.

Haniff mendakwa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak secara salah menggunakan kalimah “Allah” sebagai tuhan dalam Bahasa Malaysia, dengan alasan mereka sepatutnya menggunakan perkataan “Tuhan” dan ini tidak akan menghalang hak mereka.

Presiden Majlis Gereja Sabah, Uskup Melter Jiki Tais mendapati kenyataan Haniff “sangat menghina” penganut Kristian.

“Kami memang sangat tersinggung dengan kenyataannya dan menggesa beliau meminta maaf.

“Untuk pengetahuan Mohamed Khatri Abdulla, saranannya agar DBP boleh menyediakan Bible versi Bahasa Malaysia mencerminkan kejahilannya terhadap teologi dan tafsiran yang benar dan tepat mengenai bahasa asal Bible.

“Kami, masyarakat Kristian di Sabah, tidak dan tidak akan menerima mana-mana Bible Bahasa Malaysia yang disediakan oleh DBP,” kata biskop itu kepada The Malaysian Insight melalui mesej teks.

Beliau menambah selagi ia melibatkan penganut Kristian, tidak ada individu atau pihak lain yang berhak memutuskan bagaimana mereka sepatutnya menyatakan kepercayaan mereka dalam bahasa apa pun.

“Kami akan terus menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai Tuhan secara lisan atau bertulis.”

Mais membantu mahkamah memahami maksud dan konteks perkataan “Allah” dalam Islam.

Haniff memberitahu Mahkamah Tinggi yang kerajaan juga berminat untuk membenarkan penerbitan Bible versi Bahasa Malaysia.

Beliau mengatakan DBP akan menyediakan terjemahan itu, untuk diluluskan masyarakat Kristian, sekiranya kerajaan meluluskan penerbitan itu.

“Kita tidak akan berdepan masalah ini untuk generasi akan datang,” kata Haniff.

Kenyataannya itu juga menimbulkan respons kuat daripada pemimpin Kristian Sarawak.

Pemimpin Sidang Injil Borneo (SIB) Sarawak, Liwan Lagang berkata Bible adalah kata-kata Tuhan kepada orang Kristian dan mempersoalkan hak Mais dan DBP untuk menukarnya.

“Adakah saya mahu Mais atau DBP menulis terjemahan Bible saya?

“Pasti tidak,” kata Liwan, yang juga timbalan menteri bekalan air Sarawak.

Liwan berkata, tidak sewajarnya bagi sesiapa sahaja untuk mengubah kata-kata atau makna Bible, yang dijadikan penganut Kristian sebagai pegangan.

“Itulah sebabnya kita mempunyai panel pakar, pemimpin atasan, pastor kita sendiri melakukan terjemahan,” kata Liwan.

SIB adalah salah satu gereja di Sarawak yang menggunakan Bible bahasa Melayu.

“Tidak. Kita tidak perlukan Mais untuk mengajar mengenai kepercayaan kita. Sudah tentu tidak.

“Kami tidak campur tangan dalam urusan mereka (agama) dan kami tidak mahu perkara itu berlaku kepada kami. Tiada agama yang boleh menentukan kepercayaan mereka kepada agama lain.”

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing mempersoalkan sama ada Mais atau DBP memahami intipati Kristian.

“Saya mempunyai PhD. Saya mempunyai banyak buku mengenai Islam dan telah membaca semuanya. Apakah itu membuatkan saya layak menulis mengenai Islam? Tetapi yang lebih penting lagi, apakah mereka akan bersetuju? Adakah mereka akan membenarkannya?

“Saya tidak fikir begitu. Begitu juga Mais. Mereka mungkin mempunyai orang yang mempunyai PhD atau aa saja dalam agama tetapi mereka tidak layak menulis semula Bible,” kata Masing.

Masing berkata ia akan menjadi “penghinaan terbesar negara yang pernah dibuat” jika Mais diberi kuasa menterjemahkan Bible.

Masing juga menyangkal dakwaan Haniff yang orang Kristian di kedua negeri Borneo itu salah menggunakan “Allah” untuk Tuhan, mengatakan ia adalah polemik.

“Jadi, siapa yang memberikan mereka (Muslim di Malaysia) hak untuk menjadi satu-satunya orang yang boleh menggunakan kalimah Allah?

“Orang-orang Arab tidak bimbang mengenainya. Mengapa umat Islam di Malaysia bimbang mengenainya?”

Beliau berkata adalah sangat malang bagi Malaysia membenarkan polemik sedemikian, yang mewujudkan permusuhan antara umat Islam dan Kristian.

Ketua PKR Sarawak, Baru Bian juga menegaskan DBP tidak sepatutnya menterjemahkan Bible.

“Ia adalah asas. Mereka yang menerjemahkan Bible kami adalah ahli agama,” kata Baru, yang dahulu seorang penatua gereja SIB.

Adun Ba Kelalan itu berkata, tiada pertikaian terhadap penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian kerana ia sebelum kedatangan Islam.

Timbalan Ketua Menteri 1, Douglas Uggah pula menganggap pertikaian larangan penggunaan kalimah “Allah” bukanlah satu isu.

“Jangan jadikan isu,” kata Uggah, yang juga pengerusi Unit Agama untuk Agama Lain (Unifor).

Beliau berkata di Sarawak, keharmonian agama dan perkauman adalah kuat dan rakyat harus memeliharanya.

Menteri Penyelidikan, Sains dan Teknologi, Michael Manyin, bagaimanapun, tidak bimbang dengan peristiwa yang berlaku.

“Ia tidak akan menjejaskan kita. Kita masih boleh menggunakan perkataan itu di sini.

“Kadang-kala saya mengatakan ‘insya-Allah’ dalam ucapan saya dan ia tidak menyinggung sesiapa.”

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.