Penganjur #TangkapMO1 dapat ‘surat cinta’ dari UM

Penganjur himpunan #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof diberikan surat tunjuk sebab oleh Universiti Malaya (UM) kerana didakwa mencemar nama pusat pengajian tinggi awam itu.

“Akhirnya. Surat cinta UM. I love UM,” tulis Anis Syafiqah di akaun Facebooknya semalam.

Menurut surat itu – yang turut dimuat naik di akaun Facebooknya – Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar U, Prof Datuk Dr Rohana Yusof mendakwa mahasiswa terbabit “merosakkan atau memudaratkan kepentingan dan nama baik universiti.”

Dakwaan itu dibuat ekoran pembabitan Anis Syafiqah menyertai perhimpunan #TangkapMO1 di depan pasar raya Sogo di Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu.

Anis Syafiqah, kata surat itu, kemudian disoal siasat polis.

Justeru penuntut terbabit diarah memberi jawapan kepada surat tunjuk sebab itu dan menjustifikasikan tidakannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dia menerima surat berkenaan.

Kegagalan memberikan jawapan dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan Anis Syafiqah dikenakan tindakan disiplin.

Dia dan kumpulannya menganjurkan perhimpunan kira-kira 1,500 orang berarak ke Dataran Merdeka bagi menuntut individu dikenali sebagai Malaysian Official 1 (MO1) ditangkap.

Istilah itu merujuk kepada seseorang yang tidak didedahkan identitinya dalam laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang menyiasat dakwaan salah guna dan penyelewengan dana 1MDB.

Dalam saman sivil DOJ itu, MO1 didakwa menerima wang bernilai AS$731 juta berasal dari 1MDB.
Walaupun tiada pengesahan secara rasmi daripada kerajaan, MO1 digambarkan sebagai seorang pegawai tertinggi kerajaan yang mempunyai kaitan dengan Riza Aziz.

Riza adalah anak tiri Datuk Seri Najib Razak.

– M’kini

.