PENGAMBILAN 100% PEKERJA ASING MEMBELAKANGKAN KEPENTINGAN RAKYAT

KENYATAAN Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed semalam bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pengambilan 100% pekerja asing oleh syarikat menjalankan aktiviti eksport bagi segmen pengeluaran supaya mereka dapat memenuhi permintaan semasa dan masa hadapan tidak mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan rakyat.

Cadangan ini seharusnya dipertimbangkan secara terperinci sebelum ia dilaksanakan. Ini adalah kerana sekiranya kerajaan membenarkan pengambilan 100% pekerja asing bagi syarikat tertentu, ia dikhuatiri akan menjejaskan pasaran pekerja tempatan khususnya anak muda yang mana masalah pengangguran yang mencapai 10.7% adalah isu yang begitu membimbangkan.

Berdasarkan kenyataan beliau tersebut, jelas permintaan tenaga buruh asing ini bertujuan memenuhi permintaan buruh tidak mahir yang menawarkan gaji murah kepada pekerja dan seterusnya mengurangkan kos kepada syarikat.

Pemuda Amanah berpendirian Malaysia tidak seharusnya berharap kepada penggunaan buruh asing tidak mahir semata-mata untuk memenuhi pasaran tenaga kerja di Malaysia.

Industri negara ini perlu dibangunkan dengan inovasi teknologi yang lebih moden dan ini sekali gus dapat menggalakkan penggunaan pekerja separa mahir dan mahir yang boleh diisi oleh graduan teknik dan vokasional tempatan yang rata-rata masih menganggur selepas menamatkan pengajian.

Untuk rekod,  Menteri Pengajian Tinggi Idris Jusoh mengakui terdapat 54,103 orang graduan menganggur dalam tempoh enam bulan menamatkan pengajian.

Persoalannya, adakah Nur Jazlan sedar pengangguran bagi graduan di Malaysia adalah tertinggi dalam dekad ini dan mengusai jumlah pengangguran di Malaysia.

Situasi parah ini akan jadi lebih parah apabila kerajaan mula membenarkan 100% pengambilan buruh asing bagi syarikat atau sektor tertentu. Malah, kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendedahkan bagi tempoh 2015-2020 lebih 5 juta peluang pekerjaan di Malaysia bakal terjejas dan akan mengakibatkan pekerja tempatan terkesan dengan perubahan dalam suasana ekonomi negara hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah menggesa kerajaan perlu lebih kreatif untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga modal insan di Malaysia yang mahir dalam pelbagai bidang yang mampu dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonomi negara.

Sekali lagi, Pemuda Amanah menggesa kerajaan menaikkan gaji minima kepada RM1,500 sebulan supaya lebih ramai pekerja tempatan berminat untuk bekerja di dalam industri tersebut. Kerajaan seharusnya memberikan perhatian lebih kepada kepentingan rakyat berbanding kepentingan pihak-pihak tertentu.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com/

.