PENGAKUAN NAJIB MENGENAI 1MDB SABOTAJ PROPAGANDA LASKAR SIBER

BANYAK pihak telah mengulas pengakuan U-turn Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak) bahawa 1MDB gagal dan berlaku kesilapan urus tadbir.

 
Najib mengaku 1MDB gagal, urus tadbir songsang

Jadi tidak perlulah saya mengulanginya kecuali memberi kata dua bahawa “pengakuan” Najib itu janganlah ditelan bulat-bulat sebab mungkin ada lebih banyak racun daripada penawar.

[Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Sebaliknya saya hendak mengulas tentang betapa sepinya (muted) reaksi media massa arus perdana (MAP) dan laskar siber upahan kerajaan, Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dalam loghat Utara, mereka telah “terbotoi” (kemaluan) kerana selama ini mereka bermati-matian menafikan yang 1MDB gagal dan urus tadbirnya bermasalah.

Kalau dulu mereka mensabotaj kerajaan, Umno dan BN dengan membuat laporan dangkal yang tidak dipercayai umum sehingga jualan akhbar mereka jatuh merudum, kini giliran mereka pula disabotaj.

Bukan alang kepalang punya sabotaj, tetapi sabotaj oleh bos nombor satu mereka sendiri.

Kesepian mereka memekakkan. Apa guna yuran perundingan yang khabarnya mencecah jutaan ringgit bagi yang bertaraf komander dan dedak bagi prebet kalau sekadar membuat tampalan (posting) mengenai senaman pagi, sarapan, menjelir lidah seksi, rawatan perubatan canggih, gambar pemandangan matahari naik dan turun, awan gelap dan hujan lebat.

Bagi saya, posting sebegini oleh komander dan jeneral siber kerajaan, Umno dan BN adalah manifestasi kekacauan minda dan ketidakberanian mereka menghadapi realiti. Ia adalah “escapism”.

Sumber Upah

Dari dulu lagi saya mengesyaki ada bekas pengarang dan wartawan kanan MAP yang dilantik penasihat media dan dibayar yuran perundingan yang luar biasa besarnya.

Tetapi majoriti laskar siber hanya mendapat sagu hati dan duit poket sahaja atau dedak dalam bahasa jalanan. Laskar adalah daripada istilah Parsi lashkar (لشکر ) yang bererti askar.

Saya juga tahu sebahagian daripada mereka ditaja oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan individu yang berkaitan dengan Umno dan pentadbiran Najib.

Tetapi baru-baru ini saya terperanjat juga apabila mendapat tahu bahawa dua buah portal prokerajaan ditaja oleh sebuah GLIC Bumiputera yang sangat besar dan penting.

Sebuah daripada portal itu dimiliki seorang bekas pengarang MAP dan sebuah lagi oleh pengulas politik berkelulusan pengajian media yang tidak pernah menjadi wartawan.

Pada mulanya saya hanya syak kerana dua portal itu amat gigih dan pantas membela GLIC berkenan apabila saya menulis sesuatu yang tidak baik mengenainya.

Tetapi apabila kenyataan balas oleh salah sebuah portal itu terhadap kritikan saya menyerupai kenyataan media yang dikeluarkan selepas itu oleh GLIC berkenaan, jelaslah apa yang saya syak itu adalah benar.

Menurut maklumat terbaru yang saya peroleh, bos GLIC itu sendiri memberi imlak (dictation) kepada ketua portal tersebut bagi menjawab hujah saya. Terima kasihlah kerana memandang serius kritikan saya.

Bagi memenuhi etika kewartawanan, saya menghantar pesanan WhatsApp kepada pegawai GLIC berkenaan. Pegawai inilah yang berhubung dengan saya apabila ada isu antara saya dengan majikannya.

Saya menulis: “Assalamualaikum. Sekadar maklumat. Saya dimaklumkan yang – – – (nama GLIC) menaja — (nama portal) dan — (nama portal). Saya dimaklumkan juga yang —(nama pengerusi GLIC) menghantar WhatsApp terus kepada —- (nama ketua portal) untuk menjawab tulisan saya tempoh hari. Wallahuaklam. Terima kasih.”

Seandainya maklumat yang saya peroleh itu tepat, persoalannya adalah apakah tajaan oleh GLC dan GLIC ini mengikut tata cara pengurusan dan selari dengan etika korporat mereka?

Apa pun, pengakuan Perdana Menteri bahawa 1MDB gagal dan ada masalah urus tadbir di dalamnya telah membuatkan taring MAP dan laskar siber kerajaan dan BN semakin tumpul kalau pun tidak rongak terus.

Namun saya tidak menjangka wayang kulit 1MDB ini akan berakhir dengan pengakuan Najib itu. Pengakuan beliau tidak lebih daripada “comic relief” ala Etong dan Ekheng menjelang pilihan raya umum (PRU).

– http://kadirjasin.blogspot.my

.