PENERBIT SAMAN KEDAI BUKU 1MALAYSIA KERANA TAK BAYAR LEBIH RM100,000

PENERBIT buku bebas tempatan Fixi memfailkan saman terhadap Kedai Buku 1Malaysia Sdn Bhd (KB1M) kerana kegagalan syarikat itu membayar tunggakan lebih RM100,000 daripada jualan buku Fixi.

Pengasasnya Amir Muhammad berkata, saman itu difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu.

“Kali terakhir KB1M membuat bayaran kepada kami adalah pada November 2016, yang mana lebih setahun lalu. Sejak itu, kami hubungi pihak yang berkenaan beberapa kali namun tiada jawapan.

Pada 1 November, 2017, kami menghantar surat tuntutan kepada KB1M menerusi peguam kami untuk meminta mereka menyelesaikan tunggakan bayaran,” kata Fixi dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya hari ini.

Surat tuntutan itu bagaimanapun diabaikan oleh syarikat berkenaan, kata Fixi.

“Justeru, kami tiada pilihan selain mengambil tindakan saman untuk mendapatkan kembali bayaran daripada jualan buku kami,” katanya.

Amir ketika dihubungi memberitahu The Malaysian Insight, beliau percaya bukan hanya Fixi sahaja yang tidak menerima bayaran daripada KB1M.

“Mereka turut berhutang dengan banyak syarikat penerbitan lain, bukan kami sahaja, dan bukan kami yang paling besar.

“Terdapat penerbit lain yang KB1M berhutang lebih banyak tetapi mereka (penerbit) masih belum mengambil apa-apa tindakan setakat yang saya tahu. Jumlah keseluruhannya agak banyak, mungkin beberapa juta,” katanya.

Menurut laporan media bertarikh April 2016, KB1M mempunyai lima cawangan di seluruh negara iaitu di Wangsa Maju, UTC Perak, UTC Kuantan, UTC Alor Star dan Gong Badak, yang menjual buku pada harga yang berpatutan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KB1M Mohd Khair Ngadiron memberitahu The Malaysian Insight, syarikat berkenaan masih belum dapat memberikan kenyataan kerana perkara itu sudah dibawa ke mahkamah.

Mempunyai fiksyen dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Fixi telah diperluas untuk memasukkan beberapa cetakan seperti Fixi Novo untuk buku-buku bahasa Inggeris dan Fixi Verso (Terjemahan Melayu buku laris antarabangsa terkini), Fixi Mono untuk bukan fiksyen dan cetakan semula klasik Melayu melalui Fixi Retro.

– https://www.themalaysianinsight.com

.